Keselesaan jemaah haji di maktab penginapan fokus utama TH

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH -- Keselesaan jemaah haji di maktab penginapan masing-masing di sini penting supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan sempurna ketika mengerjakan haji.

Pengurus Maktab 80, Lembaga Tabung Haji (TH) Rozimin Ahamed Kamil berkata justeru, pihaknya meletakkan fokus utama menjamin keselesaan jemaah di sini dengan

memastikan pelbagai fasiliti disediakan kepada jemaah haji Malaysia.

"Setakat hari ini dengan kerjasama diberikan muassasah bagi Maktab 80, kita dapat jamin keselesaan jemaah haji untuk menginap dan jalankan ibadah, setakat ini tiada masalah malah jarak jemaah haji ke Masjidil Haram (dari maktab) dalam 750 meter dengan jalan landai.

"Perkhidmatan ada disediakan dewan makan yang luas, jemaah haji yang ingin beli makanan ada disediakan kafeteria juga untuk berhubung dengan saudara mara disediakan iTalk dan urusan bagasi ke Malaysia ada disediakan Pos Malaysia," katanya kepada Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Rozimin, yang juga Pengurus TH Perak, berkata Maktab 80 mempunyai empat bangunan keseluruhannya dan boleh memuatkan 3,102 jemaah haji.

Beliau berkata satu daripada fasiliti utama yang dititikberatkan pihaknya adalah kemudahan tempat makan dan bekalan makanan kepada jemaah haji.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri makan apa yang jemaah makan bagi memastikan kualiti makanan itu baik dan setiap hari pek makanan tengah hari serta malam dibekalkan mengikut keperluan jemaah, namun selalunya pembekal kita akan sediakan lebih 50 pek makanan bagi atasi isu jemaah tidak dapat makanan.

"Setakat ini tiada aduan mengenai pek makanan yang dibekalkan dan jika tidak sesuai dengan cita rasa mereka, jemaah disediakan pelbagai makanan di kafeteria yang boleh mereka beli," katanya. - Bernama