Inkues Adib: Tutup prosiding bukanlah terkubur tanpa keputusan

Gambar kecil: Syazlin Mansor
Gambar kecil: Syazlin Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim tampil memperbetulkan tanggapan bahawa prosiding perbicaraan inkuri kematian anggota bomba itu yang ditutup Rabu lalu bukanlah terkubur tanpa keputusan.

Syazlin Mansor berkata, Mahkamah Koroner memutuskan perkara itu selepas membuat keputusan untuk tidak lagi memanggil mana-mana saksi.

"Ini bermaksud, kes ini sudah sampai ke penghujungnya," katanya.

Menurutnya, dengan penutupan prosiding perbicaraan tersebut, perjalanan inkuiri ini telah memasuki fasa seterusnya.

"Kita sudah sampai ke fasa seterusnya yang mana Koroner kini sedang meneliti dan mempertimbangkan kesemua keterangan 30 saksi berserta eksibit yang telah dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

"Setelah semua perkara ini diambil kira dan diteliti dengan sepenuhnya, Koroner akan memberikan keputusan Inkues tersebut pada tarikh yang ditetapkan kelak," katanya.

Pada 24 Julai lalu, Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan untuk menutup prosiding perbicaraan kes tersebut setelah berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan inkuiri kes Muhammad Adib ditutup

Prosiding yang bermula 11 Februari lepas menyaksikan 30 saksi dipanggil memberi keterangan dan 41 hari perbicaraan serta 137 eksibit.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib,24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.