Gaduh di R&R: Anih tak akan berkompromi

Video insiden pergaduhan yang berlaku jam 1.30 pagi semalam antara kakitangan gerai Kawasan R&R Gambang arah timur dengan seorang pemandu bas ekspres
Video insiden pergaduhan yang berlaku jam 1.30 pagi semalam antara kakitangan gerai Kawasan R&R Gambang arah timur dengan seorang pemandu bas ekspres
A
A
A

KUANTAN - Syarikat Konsesi Lebuhraya Pantai Timur, Anih Berhad (Anih) tidak akan berkompromi dengan kejadian pergaduhan yang berlaku di Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini, malam tadi.

Anih dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut prosuder yang ditetapkan.

Menurutnya, siasatan terperinci berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku antara pekerja R&R berkenaan dan pemandu bas sedang dijalankan.

“Kita amat kesal dengan kejadian itu dan laporan polis berhubung insiden telah dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

“Sekiranya didapati bersalah, kakitangan gerai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat,” katanya, hari ini.

Hari ini tular video insiden pergaduhan yang berlaku pada jam 1.30 pagi semalam, antara kakitangan gerai Kawasan R&R Gambang arah timur dengan seorang pemandu bas ekspres.

Video berdurasi 1 minit 49 saat itu menunjukkan mangsa yang berpakaian serba hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh kumpulan lelaki terbabit.

Kejadian di kawasan tempat letak kenderaan itu turut disaksikan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kejadian berpunca akibat salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa mengasari seorang pelayan kedai di R&R itu sebelum pelayan berkenaan memaklumkan kepada abangnya.

Mengulas mengenai perkata itu, Anih berkata, segala tindakan yang dibuat kakitangan terbabit merupakan tingkah laku peribadi.

Jelasnya, tindakan itu tidak menggambar atau melambangkan prinsip syarikat.

“Pihak kita tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang terlibat yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan pengunjung dan ketenteraman awam.

“Syarikat ingin memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna dan ketenteraman awam adalah keutamaan kami,” katanya.