Kain perca mampu jana pendapatan penduduk

Zuraida (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Decorator Group of Company, Vincent Koay dalam lawatannya ke kilang di Kawasan Perindustrian Khantan, Chemor hari ini.
Zuraida (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Decorator Group of Company, Vincent Koay dalam lawatannya ke kilang di Kawasan Perindustrian Khantan, Chemor hari ini.
A
A
A

CHEMOR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluaran kelengkapan rumah berasaskan tekstil untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan menghasilkan produk daripada kain perca.

Kolaborasi itu berupaya membantu golongan berkenaan menghasilkan produk kain seperti cadar atau sarung bantal, sekali gus dijadikan sumber pendapatan mereka.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, idea itu tercetus hasil perbincangan pihaknya bersama syarikat berkenaan dan ia berjaya direalisasikan dengan pembabitan 30 wanita daripada Projek Perumahan Rakyat Jalan Hospital, Ipoh.

"Sebelum ini, saya bertanya kepada mereka (pihak syarikat), perca kain dijadikan apa dan mereka tidak tahu apa nak buat dengannya dan saya cadangkan kain perca itu diberikan kepada penduduk B40 supaya mereka boleh menjahit semula untuk dijadikan sarung bantal, cadar dan sebagainya.

"Sebagai permulaan, program itu dijalankan di sini (bengkel) tetapi untuk tempoh jangka panjang, kita akan belikan mesin jahit untuk diletakkan di kawasan mereka. Kain perca ini dibawa kepada mereka untuk dihasilkan produk," katanya dalam sidang media selepas melawat kilang itu di Kawasan Perindustrian Khantan, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya belum menyediakan modul perniagaan bersesuaian untuk penjualan produk yang dihasilkan.

"Kita belum lagi bincang modul perniagaan dengan syarikat ini dan saya fikirkan mereka boleh jual dengan harga berpatutan dalam kalangan golongan ini dan juga untuk kegunaan peribadi.

"Mereka juga berhak menggunakan bahan berkualiti tinggi ini untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti serta tidur dengan selesa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program itu boleh dijadikan model kepada syarikat pengeluaran lain yang ingin bersama kerajaan dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan B40 dengan penghasilan produk lain.