Langkah tarik pelaburan akan membuahkan hasil pada akhir tahun

Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yakin asas yang ditetapkan oleh kerajaan untuk menarik pelaburan asing akan membuahkan hasil seawal akhir tahun.

Beliau berkata kerajaan sedang membina semula asas ekonomi negara dan pelaburan akan masuk apabila langkah-langkah itu selesai.

"Saya tidak melihat sebab kita tidak boleh bangun semula. Kita menerima ramai (pelabur) yang ingin masuk, dan terdapat ramai yang mahu melabur di negara ini.

"Saya melihat sendiri minat yang begitu tinggi, dan terdapat juga kenyataan yang menyatakan Malaysia mempunyai semua elemen yang baik untuk pelabur masuk ke negara ini," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara anak syarikat T7 Global Bhd, T7 Kemuncak Sdn Bhd dan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) di sini.

Perjanjian yang bertujuan meninjau peluang perniagaan berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ditandatangani oleh Pengerusi T7 Global yang juga Pengarah T7 Kemuncak Datuk Seri Nik Norzrul Thani N Hassan Thani dan Presiden PKBM Datuk Azman Yusoff.

Sementara itu, Azman berharap separuh daripada 40 peratus kerja-kerja sivil yang diperuntukkan kepada kontraktor tempatan akan diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Katanya kontraktor Bumiputera dilihat mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek rel yang tidak melibatkan sistem rel berdasarkan prestasi kontraktor Bumiputera dalam projek Transit Aliran Massa (MRT).

Artikel Berkaitan:

"Kita menyasarkan 20 peratus. Jika kita mendapat sebahagian daripadanya itu sudah memadai untuk kontraktor kita mengambil bahagian dalam ECRL," katanya, sambil menambah antara yang disasarkan ialah kerja-kerja infrastruktur tidak melibatkan sistem rel, bangunan, landskap, perparitan dan pagar serta pendawaian. - Bernama