Sabah rancang bina satu lagi lapangan terbang baharu: Mohd Shafie

Mohd Shafie (kanan) bersama Mohd Radzi bergambar sebelum Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) hari ini. - Foto Bernama
Mohd Shafie (kanan) bersama Mohd Radzi bergambar sebelum Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah merancang untuk membina sebuah lagi lapangan terbang baharu untuk menampung peningkatan penumpang pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata lapangan terbang baharu itu diperlukan untuk memastikan Sabah dapat menampung keperluan pengunjung atau pelancong yang datang ke Sabah.

Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ketika ini mempunyai kapasiti untuk menampung 9 juta orang penumpang setiap tahun dan pada masa ini jumlah penumpang di lapangan terbang sudah melebihi 8 juta setahun.

"Dalam jangka masa tiga hingga lima tahun akan datang jumlah penumpang itu akan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sesi Roadshow/Libat Urus Pra-Rancangan Malaysia Ke-dua belas (RMK-12) di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin dan beberapa menteri kabinet negeri Sabah.

Mengulas lanjut Mohd Shafie berkata rancangan pembinaan lapangan terbang berkenaan adalah antara yang dibincangkan dalam program berkenaan.

"Kita masih di peringkat rancangan dan apabila sudah tiba masanya kita akan umumkan perkara berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata sesi jerayawara hari ini bertujuan untuk membentangkan hala tuju pembangunan negeri Sabah yang akan diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan RMK-12.

"RMK-12 akan dirangka berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan perekayasaan sosial.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan rancangan pembangunan di peringkat negeri serta melakar masa depan ekonomi baharu, perspektif nasional dan kemampuan yang dimiliki oleh setiap negeri akan diberi perhatian bagi menjamin pembangunan sosio-ekonomi yang mampan dan saksama,” katanya. - Bernama