Desak tubuh RCI untuk Adib

Peserta membawa sepanduk dan panji menuju ke Dataran Seni Klang.
Peserta membawa sepanduk dan panji menuju ke Dataran Seni Klang.
A
A
A

KLANG - Pertubuhan Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) menyatakan tujuh tuntutan termasuk mendesak kerajaan menyingkirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang disifatkan sebagai petualang kepada perpaduan negara.

Tujuh tuntutan itu disuarakan dalam Himpunan Aman Keadilan Untukmu Adib Dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy yang berlangsung di Dataran Seni Klang, sebentar tadi.

Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed berkata, keharmonian dan perpaduan rakyat semakin terhakis kebelakangan ini dan insiden rusuhan kuil yang mengorbankan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, baru-baru ini tidak seharusnya berlaku.

Katanya, lebih mengecewakan adalah kenyataan dan tindakan susulan Waytha Moorthy dalam menangani insiden itu yang dilihat hanya meningkatkan lagi ketegangan.

"Kita hari ini mahu desak kerajaan, inilah petualangnya (Waytha Moorthy) yang kena letak jawatan. Layak ke petualang ini jadi Menteri Perpaduan?

"Selama ini rakyat tahu dan faham, kita ada sosial kontrak, perjanjian yang telah dipersetujui. Kita semua termasuk generasi baharu perlu tahu sejarah untuk kenal siapa kita.

"Jadi, kita beri tempoh 40 hari kepada kerajaan untuk memenuhi tujuh tuntutan ini, demi perpaduan negara serta keadilan untuk Allahyarham Adib," katanya ketika berucap dalam himpunan.

Sementara itu, Setiausaha Geras yang juga wakil Srikandi Geras, Wan Asshima Kamaruddin berkata, himpunan berkenaan dianjurkan atas dasar menuntut keadilan dan pembelaan kepada Allahyarham Adib dan mendesak Waytha Moorthy disingkirkan daripada pimpinan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pimpinan Geras dan NGO berucap di pentas.
Beberapa pimpinan Geras dan NGO berucap di pentas.

Dakwanya, Waytha Moorthy tidak layak menjawat sebagai menteri malah sebelum ini pernah bertindak memfitnah negara dan mengatakan rakyat Malaysia khususnya Melayu sebagai rasis.

"Kita mahu ingatkan mereka, kita tak akan biar dia duduk senang lenang di atas sana malah kita gesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk singkirkan Waytha Moorthy.

"Mengapa kes-kes sebelum ini mudah saja tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tetapi untuk kes Adib tidak ditubuhkan?

"Sebab itu kita anjurkan himpunan ini dan akan terus desak tuntutan kita dibawa hingga ke Parlimen," katanya.

Sementara itu, himpunan berkenaan berlangsung dengan aman dengan peserta berarak kira-kira 400 meter dengan laungan selawat dan kalimah Allahuakbar.

Peserta himpunan mula berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang dan terlebih dahulu menunaikan silat Asar serta solat jenazah ghaib berjemaah.

Perarakan bermula pada pukul 5.15 petang dengan segelintir peserta turut membawa sepanduk dan panji menuju ke Dataran Seni Klang, dengan kawalan pihak polis di sepanjang laluan.

Beberapa pimpinan Geras dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain kemudiannya berucap di pentas utama sebelum himpunan berakhir kira-kira jam 7.00 petang.