Daging dendeng Johor dapat sambutan di Singapura

Maisarah (kiri) ketika ditemui di gerai jualannya di Ekspo Malaysia Fest 2019 di Ekspo Singapura, Changi, Singapura, hari ini.
Maisarah (kiri) ketika ditemui di gerai jualannya di Ekspo Malaysia Fest 2019 di Ekspo Singapura, Changi, Singapura, hari ini.
A
A
A

SINGAPURA - Produk daging dendeng yang dipasarkan pengusaha dari Johor Bahru antara juadah paling mendapat sambutan pada Ekspo Malaysia Fest 2019 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Changi, di sini hari ini.

Pengusaha Dendeng Station, Maisarah Mohd Mustaza, 27, berkata, ini merupakan kali kedua pihaknya diberi peluang mengambil bahagian dalam acara tahunan berkenaan selepas sambutan memberangsangkan tahun lalu.

“Permintaan di sini amat menggalakkan, malah kita juga terkejut apabila mereka (pengunjung dari luar negara) lebih mengenali juadah warisan budaya kita ini.

“Macam tahun lepas, kita berjaya menjual kira-kira 200 kilogram daging dendeng ini, jadi tahun ini kita lebih sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita di gerai jualannya di Ekspo Singapura, Changi di sini hari ini.

Maisarah berkata, dia sudah mengusahakan perniagaan itu kira-kira 10 tahun lalu yang menggunakan resipi asli dan hasil air tangan bapanya.

Beliau berkata, perancangan terkini, pihaknya berhasrat menempuh pasaran tempatan di seluruh Malaysia, selain lebih aktif terlibat dengan pameran jualan tertutup.

“Permintaan memang ada tetapi buat masa ini kita hanya aktif di pasar tani sekitar Johor Bahru dan dalam talian sahaja. Sebab yang membataskannya adalah kita proses daging di rumah.

“Kita dah bangunkan kilang, sekarang sedang dinaik taraf dan dijangka siap menjelang tahun hadapan. Dengan kilang ini, sekurang-kurangnya 200 kilogram boleh diproses setiap hari iaitu dua ke tiga kali ganda yang kami hasilkan sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Dendeng Station adalah salah satu daripada 223 gerai jualan dan usahawan FAMA yang menyertai Malaysia Fest 2019 di Ekspo Singapura, Changi.

Festival kali ini menyediakan pelbagai produk yang dibahagikan kepada tujuh kluster iaitu kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah, trak makanan, pelancongan dan perkhidmatan dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, kementerian dan agensi.