Peniaga online rugi RM6,000

Kisah yang menimpa mangsa tular di laman sosial.
Kisah yang menimpa mangsa tular di laman sosial.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang peniaga atas talian atau online kerugian RM6,000 selepas dua telefon bimbit yang dijual dilarikan seorang wanita yang berpura-pura mahu membelinya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 27 tahun itu menerima pesanan WhatsApp daripada seorang wanita yang kononnya berminat membeli telefon bimbit jenis Samsung S10 5g yang diiklankannya dalam laman sosial, semalam.

"Setelah mereka berbincang, suspek berminat untuk membeli dua unit telefon bimbit dengan harga kedua-duanya sebanyak RM6,000 iaitu RM3,000 seunit.

"Mereka kemudiannya berjanji berjumpa pada hari sama kira-kira jam 10.45 malam di pekarangan Hospital Columbia Asia, Taman Bukit Indah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, mangsa memberitahu suspek meletakkan keretanya agak jauh dari tempat dia menunggu dan berjalan kaki ke arahnya

"Setelah itu, suspek memberitahu mahu memeriksa telefon bimbit itu dan mangsa menyerahkan kedua-dua telefon bimbit tersebut.

"Suspek memberitahu lagi mahu mengambil wang dari keretanya. Adik lelaki mangsa yang menemaninya telah mengekori suspek.

"Apabila sampai di kereta, wanita tersebut memasuki ke dalam kereta yang dipercayai jenis Toyota Corolla warna perak atau emas, nombor pendaftaran tidak pasti dan memecut pergi meninggalkan adik mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam kereta tersebut terdapat tiga lagi lelaki lain bersama suspek.

"Mangsa dan adiknya tidak sempat mengejar kereta tersebut memandangkan keretanya diletakkan di dalam kawasan parkir hospital berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan adiknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Terdahulu, kisah yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial.