MDKL ambil tindakan pendakwaan

Penguatkuasa MDKL cuba memecahkan pintu masuk sebuah premis dalam operasi bersepadu sebelum ini. Foto - Ihsan MDKL
Penguatkuasa MDKL cuba memecahkan pintu masuk sebuah premis dalam operasi bersepadu sebelum ini. Foto - Ihsan MDKL
A
A
A

BANTING - Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengambil tindakan pendakwaan melibatkan enam kes berkaitan pembinaan bangunan dan kesalahan jalan raya sebelum ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, daripada jumlah tersebut, hanya dua daripadanya difail dan dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, baki kes lain tidak dapat dibicarakan berikutan pihak terlibat tidak menghadirkan diri sewaktu hari perbicaraan.

"Bagi kes pertama, tertuduh telah didakwa di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil 3(1) (a), Undang-Undang Kecil Penternakan Burung Walit dan dijatuhi denda sebanyak RM900.

"Tertuduh dalam kes kedua yang diwakili bapanya pula didakwa mengikut kesalahan Perenggan 51(1) Perintah Pengangkutan Jalan dan dijatuhi denda sebanyak RM100 oleh mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, tindakan itu diambil berikutan keingkaran pihak terlibat untuk mematuhi peraturan pembinaan bangunan dan mematuhi undang-undang jalan raya ditetapkan.

Premis yang melanggar peraturan turut dikenakan tindakan sita dalam operasi bersepadu sebelum ini. Foto - Ihsan MDKL
Premis yang melanggar peraturan turut dikenakan tindakan sita dalam operasi bersepadu sebelum ini. Foto - Ihsan MDKL

Beliau berkata pihaknya merasa kesal berikutan masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dan mengabaikan aspek keselamatan dengan membina bangunan tanpa kebenaran MDKL.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, satu kes yang melibatkan undang-undang jalan raya juga telah didakwa di mahkamah baru-baru ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zain berkata, pihaknya turut melaksanakan satu operasi bersepadu di Bukit Jugra bersama beberapa jabatan berkaitan antaranya Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasa MDKL.

Beliau berkata, operasi turut disertai Pejabat Daerah Kuala Langat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga membawa kepada serbuan sebuah kawasan yang dibangunkan tanpa kebenaran MDKL.

"Dalam operasi itu, tindakan telah diambil di bawah Seksyen 18(1) Akta 172 dengan sabitan di bawah Seksyen 26(1) Akta 172 dan Seksyen 94 Permohonan Perintah ex-parte iaitu permohonan perintah mahkamah tanpa sabitan dan Seksyen 70(13) (c) Akta 133 untuk binaan.

"MDKL kini sedang dalam siasatan dan akan terus menjalankan pendakwaan di mahkamah," katanya.