X

Kindly register in order to view this article
!

SME Corp lulus geran RM189.26 juta

Rizal (dua, kiri) dan Khairur Rizal (dua, kanan) melihat produk dihasilkan PJ Food Industries sempena Program Jejak PKS Wilayah Pantai Timur di Indera Mahkota, hari ini.
A
A

KUANTAN - SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah meluluskan geran bernilai RM189.26 juta kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) sehingga 30 April lalu.

Ketua Pegawai Pelaksanaan dan Pemantauan SME Corp, Rizal Nainy berkata, kelulusan geran itu bakal memanfaatkan seramai 1,995 usahawan PKS di seluruh negara.

Menurutnya, geran tersebut diberikan kepada PKS Bumiputera yang mempunyai produk dan perkhidmatan berkualiti bagi pasaran dalam dan luar negara.

“Subsektor yang paling banyak menerima geran ini adalah perkhidmatan yang mana kira-kira 89 peratus bilangan PKS di seluruh negara adalah di bawah bidang ini.

“Kalau di Pahang, tidak silap saya kira-kira 86.4 peratus PKS yang menawarkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Jejak PKS Wilayah Pantai Timur di PJ Food Industries Sdn Bhd di Indera Mahkota hari ini.

Program itu disempurnakan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Khairur Rizal Ramli.

Hadir sama Pengarah Urusan PJ Food Industries Sdn Bhd, Norehan Mohd Noor.

Dalam pada itu, Rizal berkata, PJ Food Industries merupakan salah satu penerima geran BEEP daripada SME Corp bagi melaksanakan projek pembungkusan produk, pensijilan dan pembelian mesin.

Menurutnya, menerusi bantuan diterima, syarikat berkenaan yang berpengalaman dalam aktiviti pembuatan rempah-ratus dan tepung goreng ayam menggunakan jenama produk Puteri Ayu berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran produk.

Beliau berkata, bantuan daripada pihaknya membolehkan syarikat itu menembusi pasar raya tempatan seperti Pasaraya Darul Makmur, Tunas Manja Group (TMG) serta Nirwana.

“Kita sedar kepentingan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, jadi sebab itu kita membantu pembangunan PKS tempatan untuk memberi peluang kepada mereka mempromosikan dan memberi pendedahan kepada umum mengenai produk, perkhidmatan serta amalan perniagaan terbaik PKS,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus