ADUN Kota Anggerik mengaku dipanggil beri keterangan

Polis sebelum ini memaklumkan sudah merakamkan keterangan seorang ADUN di Selangor berhubung siasatan kes video intim yang dikaitkan dengan menteri Kabinet. Gambar kiri: Najwan Halimi
Polis sebelum ini memaklumkan sudah merakamkan keterangan seorang ADUN di Selangor berhubung siasatan kes video intim yang dikaitkan dengan menteri Kabinet. Gambar kiri: Najwan Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas lima hari berteka-teki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi akhirnya mengakui beliaulah ADUN di Selangor yang dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Isnin lalu berhubung kes video intim dikaitkan seorang menteri Kabinet.

Menurutnya, polis merakam kenyataannya selama satu jam setengah, namun enggan mengulas maklumat diberi kerana ia masih dalam siasatan polis.

Ditanya sama ada terkejut dipanggil untuk memberi keterangan, Najwan berkata, beliau sedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

“Saya tak terkejut sangat. Maksudnya saya komited beri kerjasama penuh kalau ada apa-apa keperluan untuk membantu siasatan.

“Kes ini masih dalam siasatan polis, saya hanya dipanggil untuk rekod keterangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di SACC Mall, di sini petang tadi.

.Ditanya sama ada beliau akan dipanggil lagi untuk memberi kenyataan, Najwan memberitahu tidak pasti mengenainya namun terbuka untuk membantu pihak polis.

“Tak pasti sama ada saya akan dipanggil lagi oleh polis atau tak, saya terbuka untuk bantu siasatan.

“Hari itu (Isnin lalu) mereka hanya panggil saya datang dan rekod keterangan, itu sahaja, tidak timbul isu siapa dalang, ‘kambing hitam’ dan sebagainya itu semua ‘nonsense’,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Najwan berkata, beliau melihat apa yang digembar-gemburkan mengenai isu itu hanyalah mainan di sosial media untuk mempolitikkan kes terbabit.

Kataya, ia dipercayai untuk menimbulkan kebimbangan di peringkat ahli, melaga-lagakan dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan pemimpin.

“Macam saya cakap, ini adalah mainan propaganda di media sosial bertujuan mewujudkan situasi membimbangkan sedangkan tak ada apa pun,” katanya.

Dalam pada itu, Najwan berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR bagi menentukan tindakan sewajarnya kepada beberapa ahli parti termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang dipanggil memberi penjelasan sebelum ini.

Katanya, beliau tidak mendengar ucapan penuh Amirudin ketika majlis doa selamat dan kesyukuran Ahad lalu yang menyebabkan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Selangor itu dipanggil biro disiplin.

“Saya tak dengar ucapan penuh Menteri Besar sebab tak hadir ketika majlis tersebut saya cuma baca mengenainya di media masa.

“Apa pun parti telah mengeluarkan pendirian untuk memangil Datuk Menteri Besar (Amirudin) dan beberapa individu lain bagi memberikan penjelasan kepada biro disiplin.

“Kita serahkan kepada biro disiplin untuk bertindak dan menentukan tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, polis memaklumkan sudah merakamkan keterangan seorang ADUN di Selangor berhubung siasatan kes video intim yang dikaitkan dengan menteri Kabinet.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

ADUN berkenaan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi, Isnin lalu.