Video intim: Kita move on, kata Anwar

A
A

1. Video intim: Kita move on, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hanya berkata kita move on ketika menjawab soalan wartawan berkenaan kontroversi melibatkan video intim yang didakwa melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum itu beliau ditanya wartawan dakwaan yang dibuat setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak selepas dibebaskan daripada tahanan polis, dan khabar angin Azmin merancang untuk keluar parti.

Farhash mendakwa penahanannya selama lapan hari, bertujuan menjatuhkan reputasi Anwar dan rakaman CCTV di hotel di mana hubungan seks itu didakwa berlaku telah dipadam.

Farhash sebelum ini ditahan bersama tiga individu di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Masai, Johor berkenaan video intim.

2. Tuduh KPN menipu, polis rekod keterangan Lokman Adam

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, hadir ke Bukit Aman untuk direkod keterangan susulan dakwaannya yang menuduh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menipu, berkenaan siasatan kes penyebaran video intim membabitkan seorang menteri Kabinet.

Lokman ketika ditemui pemberita berkata, beliau tetap dengan dakwaannya bahawa Ketua Polis Negara tidak bercakap benar.

Tambahnya lagi, Abdul Hamid Bador tidak layak menjadi Ketua Polis Negara, kerana tidak berkata benar tentang dapatan forensik CyberSecurity.

Lokman sebelum ini mencabar Abdul Hamid mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu.

3. Berterus-terang dengan Rakyat, Nilai semula manifesto: Kit Siang

Tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH), menilai semula manifesto dan janji-janji PH dalam PRU14 yang lepas, kata Timbalan Pengerusi Kaukus, Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Lim Kit Siang.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengakui kepada rakyat bahawa penilaian semula perlu dilakukan, terutama terhadap janji-janji yang belum ditunaikan.

“Berikan Pakatan Harapan ruang untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dan mengakui, kalau ada, yang sesetengah janji yang dibuat itu adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan dan beliau percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini, daripada cuba untuk menyembunyikannya.

Bagaimanapun, lima tunggak utama yang dijanjikan dalam Manifesto PRU14 Pakatan Harapan kekal menjadi panduan.

4. RM4,000 ringgit hias kereta demi Kedah

Sokongan yang tinggi terhadap Lang Merah menyaksikan seorang penyokong fanatik dari Pendang, Kedah sanggup berhabis wang ribuan ringgit setiap tahun untuk menghias keretanya.

Boon Sis Densing, 53, berkata, dia mula menghias kereta Proton Waja tersebut sejak tahun 2007, di mana zaman kegemilangan bola sepak negeri Kedah menjadi perhatian seluruh penyokong bola sepak tanah air.

Kira-kira RM4,000 setahun dihabiskan untuk mengecat dan menukar sticker penaja pasukan Kedah yang bertukar pada setiap tahun.

Sebagai rakyat dan penyokong Kedah, saya ikhlas melakukannya walaupun tidak menerima sebarang tajaan dari mana-mana pihak untuk melakukannya.

Ujur, seorang penyokong fanatik hijau kuning yang menyokong pasukan Kedah bagi perlawanan akhir Piala FA esok, menentang Perak.

5. Hanya kerana kentang goreng sejuk

Seorang wanita berusia 27 tahun ditahan polis selepas menyerbu sebuah restoran McDonald, menggunakan selaras senapang gara-gara diberikan hidangan kentang goreng sejuk, lapor media Agensi.

Akhbar WTOC di Georgia yang memetik pengurus restoran berkata, Lilian Tarver memesan kentang goreng dan kemudian datang semula ke restoran itu sambil mengadu makanannya sudah sejuk.

Lilian melepaskan sedas tembakan, sebelum meninggalkan restoran makanan segera selepas wang dikembalikan kepada nya, dan tiada siapa mengalami kecederaan dalam insiden itu.

Dan, dia berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia