PM Mahathir lawat lapangan terbang Turki milik MAHB

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar di papan tanda Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menggunakan logo baharu ketika dibawa meninjau persekitaran Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, yang dimiliki Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar di papan tanda Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menggunakan logo baharu ketika dibawa meninjau persekitaran Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, yang dimiliki Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

ISTANBUL - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) yang dimiliki Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Dr Mahathir, yang tiba di lapangan terbang itu dari ibu negara Turki, Ankara, meluangkan masa kira-kira sejam melihat operasi lapangan terbang itu, yang terletak kira-kira 45 km dari pusat bandar.

Beliau diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah disambut setibanya di lapangan terbang itu oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Pengerusi MAHB Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin.

Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Duta Besar Turki ke Malaysia Merve Kavakci.

Dr Mahathir diberi taklimat oleh Raja Azmi mengenai sejarah pengambilalihan penuh lapangan terbang itu oleh MAHB pada 2014, pencapaian dan pembangunannya selain perancangan masa hadapannya.

Raja Azmi dalam taklimatnya berkata lapangan terbang itu yang dimiliki seratus peratus oleh MAHB, mengendalikan 41 juta penumpang setahun dan boleh meningkatkan keupayaannya kepada 60 juta apabila mereka memiliki landasan terbang yang baharu.

Beliau berkata Malaysia menerusi MAHB adalah satu-satunya negara ASEAN yang memiliki lapangan terbang di Eropah.

Artikel Berkaitan:

"Lapangan terbang ini mengendalikan 53 syarikat penerbangan ke 131 destininasi antarabangsa dan 41 destinasi domestik," kata beliau.

Perdana Menteri turut melawat sekitar lapangan terbang.

Dibuka pada Januari 2001, Sabiha Gokcen adalah lapangan kedua terbesar dan paling sibuk di Turki dan dibanggakan sebagai lapangan tebang satu landasan dan terminal paling sibuk di dunia. Ia juga lapangan terbang ke-12 paling sibuk di Eropah.

Dr Mahathir tiba di Ankara pada Rabu untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Atur cara lawatan ketat menanti Perdana Menteri yang berusia 94 tahun itu di sini pada Jumaat, termasuk perbincangan meja bulat dengan para pemimpin industri dan minum petang bersama diaspora Malaysia di Turki. -Bernama