Mapim optimis capai 100,000 perkongsian kempen #ShameOnIsrael

Heliza antara selebriti yang aktif membuat perkongsian hantaran kempen #ShameOnIsrael di Instagram miliknya. Gambar kanan: Sebahagian ciapan di Twitter mengajak rakyat Malaysia untuk menyokong kempen #ShameOnIsrael hari ini. (Gambar kecil: Ahmad Sani)
Heliza antara selebriti yang aktif membuat perkongsian hantaran kempen #ShameOnIsrael di Instagram miliknya. Gambar kanan: Sebahagian ciapan di Twitter mengajak rakyat Malaysia untuk menyokong kempen #ShameOnIsrael hari ini. (Gambar kecil: Ahmad Sani)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) optimis dapat mencapai sasaran 100,000 perkongsian hantaran bagi kempen #ShameOnIsrael di semua medium media sosial sebelum jam 9 malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata, pihaknya sangat yakin kerana tidak sampai satu jam kempen itu dilancarkan pada jam 10 pagi tadi, ia sudah trending dan mendapat perkongsian kira-kira 10,000 hantaran di media sosial khususnya Instagram, Twitter dan Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Mapim anjur kempen #ShameOnIsrael esok

Ahmad Sani berkata, dengan maklum balas tersebut beliau percaya matlamat kempen menyampaikan mesej rasa marah dan mengutuk perbuatan rejim Zionis menerusi media sosial ini akan berjaya.

Menurutnya, kempen tersebut adalah satu permulaan yang baik dan juga sebagai 'wake up call' buat semua pengguna media sosial untuk ambil peduli dan membuat carian sendiri tentang apa yang sedang berlaku di Palestin.

Katanya, insiden yang berlaku awal minggu ini apabila 100 rumah warga Palestin dirobohkan oleh tentera yang kemudiannya bersorak gembira dengan perbuatan dilakukan tidak boleh dianggap perkara kecil.

"Mangsa merana kehilangan tempat tinggal, hak mereka dirampas tanpa sebab. Jadi dengan kempen yang hanya dilakukan dengan hujung jari ini saja kita percaya akan dapat bangkitkan kesedaran dan kemarahan semua pihak.

"Apabila kempen ini trending tadi, terdapat beberapa media antarabangsa hubungi Mapim bertanyakan objektif gerakan kempen ini. Malah sahabat-sahabat dan aktivis dari negara Indonesia termasuk selebriti negara sendiri antaranya Heliza Helmi, Hafiz Hamidun dan juga Datuk Aliff Syukri juga antara yang dilihat aktif berkongsi posting poster #ShameOnIsrael di Instagram mereka, sekali gus menjadi penggerak kempen dan menularkannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Sani berkata, beliau positif selepas ini lebih ramai pengguna media sosial lebih bersemangat untuk membantu Palestin kerana definisi bantuan bukan terhad kepada duit atau turun berdemonstrasi tapi boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

"Saya percaya dengan kaedah paling mudah ini akan dapat memberi kesan yang sangat mendalam sebagai permulaan kepada rakyat Malaysia untuk tidak melupakan Palestin dan sentiasa bangkit merasa peduli terhadap apa yang berlaku... Ini solidariti dan semangat yang kita mahu tunjukkan tanpa mengira bangsa atau fahaman politik," katanya.

Beliau berkata selepas kempen #ShameOnIsrael ini tamat pada jam 9 malam nanti, Mapim akan membuat 'post mortem' bagi merangka strategi yang berterusan dan tidak menolak kemungkinan akan ada gelombang kedua kempen dilancarkan nanti.

Terdahulu, Mapim mengajak rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa menyertai kempen media sosial bermula jam 10 pagi hingga jam 9 malam ini bagi mengutuk tindakan rejim zionis Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin.

Kempen tersebut menggunakan tanda pagar #ShameOnIsrael dengan latar belakang warna hitam atau merah bertujuan menyampaikan mesej dari Malaysia bahawa tindakan Israel itu memalukan.