'Saya tak fikir Azmin akan angkat kaki'

Shamsul Iskandar
A
A

MELAKA - “Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan beralih arah keluar daripada PKR dan akan terus bersama PKR”.

Itu kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas mengenai ura-ura kononnya Timbalan Presidennya itu akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

“Saya tidak fikir Mohamed Azmin akan bertindak sedemikian kerana berdasarkan pengalaman lama beliau sebagai ahli politik yang bermula sejak zaman Reformasi 1998, tidak mungkin beliau akan mengambil sikap beralih arah daripada parti Keadilan yang kita asaskan bersama-sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan terima Azmin dengan tangan terbuka

"Ketika itu saya memegang jawatan pemuda dan Mohamed Azmin memegang jawatan di peringkat negeri Selangor. Sekali lagi saya yakin tiada sebab untuk beliau angkat kaki daripada PKR," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari dan Dialog Pengamal Media Bersama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Azmin tak keluar PKR, kata Anwar

Tak timbul isu Azmin masuk Bersatu: Amirudin

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Anwar hari ini bagaimanapun dipetik sebagai berkata tidak tahu-menahu mengenai ura-ura berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan bekas Menteri Besar Selangor itu dalam masa terdekat ini, Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, setakat ini tiada, ekoran komitmen tinggi masing-masing dalam kerajaan.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama dalam pada itu menegaskan bahawa semua kepimpinan parti di negeri ini berdiri teguh di belakang Anwar untuk memimpin PKR tanpa sebarang keraguan.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan 21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah yang diketuai Naib Pengerusinya Khairuddin Ibrahim yang semalam mengumumkan keluar parti, Shamsul Iskandar berkata beliau berharap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Melaka, Halim Bachik dapat mengendalikan masalah itu.

"Saya percaya masalah itu boleh dibawa ke meja rundingan. Tentulah saya kesal dengan pendirian dan keputusan mereka meninggalkan parti.

“Kepemimpinan negeri harus melihat aduan dan hal dibangkitkan selaras dengan sesi pemukiman PKR di Port Dickson (Negeri Sembilan) baru-baru ini, iaitu penyatuan di semua peringkat kepimpinan bagi membolehkan parti bergerak ke depan," katanya. - Bernama