Pantau anak-anak guna telefon pintar

Nicole Tan ketika pada Forum Kitakan Keluarga: Membina Harapan Malaysia Baharu sempena sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Nicole Tan ketika pada Forum Kitakan Keluarga: Membina Harapan Malaysia Baharu sempena sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Penggunaan telefon pintar tanpa kawalan oleh ibu bapa mendedahkan kanak-kanak kepada pelaku 'sexual grooming' dengan mudah, menerusi akaun palsu dalam media sosial dan ruangan forum permainan di atas talian.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, bagaimanapun, pengaruh negatif bukan terbatas kepada sexual groming sahaja.

"Banyak lagi isu lain yang boleh dikaitkan seperti kebergantungan ibu bapa kepada gajet sebagai 'baby sitter' atau pengasuh anak-anak menyebabkan anak-anak kurang tidur dan tidak aktif kerana berlebihan penggunaan gajet.

"Keadaan itu juga mengakibatkan anak-anak kurang yakin dan perkongsian keterlaluan maklumat yang tidak sepatutnya di laman sosial," katanya selepas selesai Forum Kitakan Keluarga: Membina Harapan Malaysia Baharu sempena sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Nicole Tan berkata, kecerdikan intelektual perlu diasah bersama dengan kecerdikan spiritual dan emosi, justeru, kebergantungan setiap entiti dalam meningkatkan pendidikan keibubapan digital amatlah diharapkan.

"Perkara ini perlu bermula daripada ibu bapa sendiri yang merupakan insan yang paling hampir kepada anak-anak diikuti golongan pendidik dan seterusnya masyarakat.

"Marilah kita bermuhasabah diri dalam mencari titik yang kongruen bagi semua pihak agar perkembangan fizikal, mental dan sahsiah diri anak-anak ini dapat dipelihara daripada dicemari oleh anasir yang tidak baik," katanya.

Manakala Nicole Tan berkata, berdasarkan Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, jumlah pengguna internet di Malaysia pada tahun 2018 adalah sebanyak 28.7 juta berbanding 24.5 juta pengguna pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan sebanyak 4.2 juta dalam hanya tempoh dua tahun. Daripada jumlah ini, sebanyak 93.1 peratus menggunakan telefon pintar sebagai medium utama untuk mengakses internet.

"Maka tidak hairanlah jika telefon dikatakan sebagai 'nyawa' bagi sesetengah orang," katanya.