Pesalah cemar air boleh dihukum mati

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media Malaysia International Water Convention 2019 di Pantai 2 SPT di sini hari ini. - Foto ROSLI TALIB
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media Malaysia International Water Convention 2019 di Pantai 2 SPT di sini hari ini. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menegaskan hukuman berat termasuk hukuman mati boleh dikenakan ke atas sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air dengan sengaja.

Menurutnya, ia termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita mempunyai akta yang cukup ketat sehingga kita boleh mengenakan hukuman mati kepada mereka yang mencemarkan air dengan sengaja atau kemungkinan besar mendatangkan kemudaratan (kepada pengguna).

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran air disyaki tindakan sabotaj: Xavier

“Kita boleh menggunakan akta itu dan tidak perlukan lagi sebarang pindaan atau penambahbaikan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Air Bersih Etiqa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kementeriannya bercadang menambah baik undang-undang sedia ada bagi mengekang kegiatan pencemaran air susulan pencemaran Sungai Selangor disebabkan minyak diesel yang dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam pada itu, Xavier berkata, siasatan berhubung pencemaran Sungai Selangor diserahkan sepenuhnya kepada polis dan berharap mereka yang terlibat dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, Xavier mengesahkan insiden pencemaran Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna di negeri itu dipercayai akibat perbuatan khianat.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, mana-mana individu yang terlibat melakukan sabotaj sehingga menyebabkan pencemaran minyak di Sungai Selangor boleh dikenakan tindakan di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air sehingga menyebabkan kematian manusia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.