Suami jadi pendiam petanda pergi selamanya

Mohd Saifuddin (dua dari kanan) menyerahkan cek FPM kepada Nurul Ain (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd Hamidi (kiri) di Kampung Sengkuang, Batu Pahat.
Mohd Saifuddin (dua dari kanan) menyerahkan cek FPM kepada Nurul Ain (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd Hamidi (kiri) di Kampung Sengkuang, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang isteri di Kampung Sengkuang, Sri Gading di sini tidak menyangka sikap suaminya yang peramah bertukar menjadi pendiam menjadi petanda dia akan kehilangan suaminya selama-lamanya.

Nurul Ain Hassan, 28, berkata, bagaimanapun dia hanya menganggap perubahan suaminya, Mohd Fuad Sairan, 26, itu hanya sementara disebabkan kepenatan setelah seharian bekerja sebagai pemandu lori.

“Paling ketara pada 4 Julai lalu iaitu sehari sebelum kejadian apabila arwah suami langsung tidak berbual dengan saya seperti sebelum ini dan apa yang dia hanya cakap ialah dia akan pergi jauh.

“Saya hanya menyedapkan hati sendiri kerana memang tahu arwah hendak menghantar barang ke Pulau Pinang dan memang lokasi tersebut agak jauh berbanding sebelum ini dia hanya akan menghantar barang di sekitar kawasan Lembah Klang sahaja,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima lawatan Timbalan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Nor di rumah keluarganya di Kampung Sengkuang Sri Gading hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Khas Biro Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati (PKAAJ) Batu Pahat, Mohd Hamidi Md Tap.

Menurutnya, hatinya juga luluh sewaktu menerima berita suaminya terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala utara dari Kota Damansara menuju ke Bukit Lanjan, Petaling Jaya pada 5 Julai lalu sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ketika itu jugalah saya teringat kata-kata arwah suami serta perubahan sikapnya yang merupakan seorang yang suka bergurau sebelum ini dan sebagai orang Islam, saya kena reda dan kuat atas kejadian yang menimpa saya ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, hasil semakan mendapati arwah suami Nurul Ain merupakan orang berinsurans (OB) dan layak mendapat bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Menurutnya, walaupun pasangan tersebut baharu berkahwin kira-kira sembilan bulan dan anak sulung mereka masih belum dilahirkan, Nurul Ain dan anaknya juga layak menerima bayaran pencen penakat yang akan mula dibayar pada bulan hadapan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, 5 Julai lalu, lori muatan perabot yang dibawa oleh Mohd Fuad melanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan simen konkrit manakala dua kelindan iaitu Mohd Akbar Shah Indra Mohd Hilmi, 25, dan Mohamad Norizam Amin, 35, parah.