Kontrak khidmat Rahimin di JAIM ditamatkan?

Mohd Sofi Ab Wahab, Rahimin Bani
Mohd Sofi Ab Wahab, Rahimin Bani
A
A
A

MELAKA - Tular di media sosial sejak malam tadi mengenai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani yang ditamatkan perkhidmatan serta merta.

Keadaan itu telah menimbulkan tanda tanya dan mengundang reaksi pelbagai pihak.

Sejak malam tadi, beberapa pengguna media sosial turut memuat naik status melahirkan rasa tidak puas hati mengenai berita tersebut.

Ada pemilik akaun mendakwa kontrak Rahimin di JAIM sepatutnya berakhir pada 31 Disember depan namun dipercepatkan sehingga 31 Ogos ini.

Antara status yang dimuat naik, mereka mendakwa, tindakan itu ada kaitannya dengan saranan Rahimin terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Ab Wahab agar pendakwa bebas, Wan Ji Wan Husin yang tidak mempunyai tauliah supaya tidak menyampaikan ceramah di Masjid Bukit Beruang dan Masjid Parit Melana sebelum ini.

Terdapat juga status memaparkan gambar Rahimin bersama seorang kakitangan Bahagian Penguatkuasa JAIM dilihat sedang mengemas barangan di dalam kotak untuk dimasukkan ke dalam kereta beliau dan mendakwa perkhidmatan Rahimin di tamatkan serta merta.

Rahimin ketika dihubungi malam tadi, tidak menyatakan alasan dan sebab penamatan kontrak perkhidmatan tersebut namun hanya mengesahkan jawatan beliau akan berakhir pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam menafikan perkara tersebut dan menganggap berita tersebut sebagai satu fitnah.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu fitnah yang dahsyat. Beliau tidak ditamatkan perkhidmatan serta-merta seperti yang ditularkan. Beliau masih bekerja seperti biasa hingga ke hari ini.

"Untuk pengetahuan, saya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menamatkan perkhidmatan beliau. Hanya Ketua Menteri dan Pengarah JAIM sahaja yang boleh menentukan status perkhidmatan beliau.

"Kepada mereka menularkan kononnya Rahimin telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta oleh saya mohon menarik balik fitnah mereka kerana besar dosanya memfitnah ini," katanya.