Cara lupuskan kad undangan yang ada kalimah Basmallah

A
A

PERASAN atau tidak, kad undangan perkahwinan yang kita terima selalunya bukan sahaja cantik, tetapi ada juga yang mengandungi perkataan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi.

Apabila undangan walimah sudah dipenuhi, kadangkala kita akan buang kad berkenaan.

Barangkali ada yang gemar menyimpan kad kahwin unik, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian.

Dalam kes kad kahwin yang mengandungi kalimah ALLAH, bagaimana kaedah terbaik untuk melupuskannya?

Asalnya, pelupusan al-Quran yang terkena banjir, koyak ataupun berlaku perkara-perkara yang tidak boleh lagi dibaiki lagi pada al-Quran itu, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan, hendaklah ditanam, manakala Mazhab Syafie dan Maliki pula menyatakan, hendaklah dibakar.

Hukum itu berdasarkan kepada tindakan Amirul Mukminin Saidina Uthman bin Affan RA.

Ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf, beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya.

Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat RA.

Imam Ibn Battal mengatakan bahawa perintah Uthman RA supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama ALLAH SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki-kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah.

Pendapat Imam Ibnu Battal itu juga terpakai kepada apa-apa sahaja risalah atau kertas yang tertulis kalimah ALLAH SWT.

Ia hendaklah dibakar atau boleh juga ditanam mengikut sebahagian pandangan ulama yang lain.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du'at (Murshid), pendakwah dan penulis.