Melaka harap tersenarai dalam laluan ECRL

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri berharap Melaka akan tersenarai sebagai antara laluan baharu pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata, ia sejajar dengan sejarah Melaka sebagai sebuah daripada negeri yang pernah mempunyai stesen dan landasan kereta api menghubungkan kawasan strategik dari Singapura hingga Semenanjung Malaysia pada suatu ketika dahulu.

Namun kini, katanya, stesen yang masih ada hanyalah di sempadan Melaka-Negeri Sembilan iaitu Stesen Keretapi Pulau Sebang manakala tapak rel kereta api kebanyakannya sudahpun menjadi jalan raya.

"Saya mengikuti pengumuman pelaksanaan semula Projek ECRL oleh Menteri Pengangkutan secara siaran langsung yang mana sebelum ini ditangguhkan bagi tujuan mengkaji semula.

ARTIKEL BERKAITAN:ECRL dilancar semula hari ini

"Saya berpandangan tidak mustahil projek seumpama ECRL ini dibangunkan melibatkan Melaka. Barangkali projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang ditangguhkan, mampu dilaksanakan semula," katanya dalam kenyataan di sini.

Pembinaan projek ECRL itu ditangguhkan sejak Julai tahun lepas apabila kerajaan mahu berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Pada April lepas, media melaporkan projek ECRL akan disambung semula pada kos pembinaan yang lebih rendah iaitu bagi Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sofi yang juga ADUN Durian Tunggal berkata, keputusan menangguhkan projek ECRL itu sebelum ini merupakan langkah tepat apabila kerajaan berjaya mengurangkan kos perbelanjaan projek sebanyak RM21.5 bilion.

Beliau berkata, pada masa sama kontaktor yang terlibat juga akan dilihat semula potensi mereka selain membuka peluang lebih besar kepada syarikat tempatan.

"Pelaksanaan projek ECRL berkenaan merupakan agenda kerajaan Pakatan Harapan yang mengutamakan penjimatan perbelanjaan tetapi pulangan maksimum kepada rakyat," katanya. - Bernama