X

Kindly register in order to view this article
!

Kelebihan dikurniakan ALLAH SWT hanya ujian untuk hamba-Nya

MOHD TAMYES
A
A

SOMBONG ialah pakaian ALLAH SWT yang hanya layak untuk Yang Maha Pencipta segala makhluk di muka bumi dan kita sebagai manusia dilarang sama sekali bersifat demikian.

Sebaliknya, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyed Abd Wahid berkata, sebagai hamba ALLAH, manusia perlu ada sifat toleransi dan tasamuh (menghormati dan menghargai) antara satu sama lain.

Jelas agamawan itu, tiada sebab untuk kita bermegah kerana manusia sendiri tidak mampu melakukan sebarang kerja secara bersendirian.

"Sebagai insan yang daif, besar manapun pangkatnya, kita tak mampu hendak buat kerja seorang diri. Sebaliknya, kita hanya boleh bekerja melalui bantuan orang sahaja sehingga akhir hayat.

"Kalau kita (meninggal dunia) hendak masuk kubur pun kena ada bantuan daripada orang lain, kafankan pun sama dan begitu juga memasukkan ke dalam liang lahad. Mungkin manusia yang kita bersikap sombong itulah yang akan membantu kita nanti," katanya kepada Sinar Islam.

Justeru, beliau menasihatkan agar setiap insan menunjukkan sifat yang berbudi pekerti mulia, bersopan santun serta melayan orang muda, tua dan yang masih kecil dengan sebaiknya.

Bagi mengelakkan kita bersikap sombong, Mohd Tamyes berpesan agar banyakkanlah istighfar pada setiap hari kerana ia mampu melembutkan hati, selain dipermudahkan dan mendapat rezeki tidak disangka-sangka daripada ALLAH SWT.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sifat sombong amat berbahaya sebab iblis dikeluarkan daripada syurga kerana sifat berkenaan yang sangat dimurkai oleh ALLAH SWT sehingga dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa orang yang sombong tidak akan berbau syurga.

DR WAN SALIM
DR WAN SALIM

Ujar agamawan itu, kedudukan sosial, kekayaan, ilmu dan sebagainya yang dikurniakan ALLAH SWT kepada setiap orang hanyalah untuk menguji mereka.

"Bagaimana seseorang itu menggunakan kelebihan tersebut? Kalau ALLAH uji seseorang dengan harta, ALLAH hendak tengok bagaimana dia gunakan hartanya. Adakah dia gunakan untuk berlagak atau untuk menunjuk-nunjuk?

"Begitu juga dengan orang yang berilmu dan lain-lain. Sebab itu, sebaik-baik orang yang paling mulia, ukurannya dalam Islam ialah orang yang paling bertakwa. Yang lain-lain itu hanya sebab sementara sebagai ujian kepada hamba-hamba-Nya di muka bumi," ujar beliau.

Kepada satu soalan, Dr Wan Salim menjelaskan: "Sifat sombong memang perbuatan yang buruk dan akan menghapuskan amalan-amalan yang baik, sebaliknya amalan yang baik pula akan menghapuskan amalan-amalan yang jahat.

"Dalam hati seseorang, tidak boleh ada dua (perkara) yang bertentangan. Bermakna jika seseorang itu orang yang baik, dia tak boleh berifat dengan sikap yang bertentangan. Begitu juga kalau mereka yang mempunyai sifat tidak baik, maka sifat yang baik itu akan terhapus," katanya.

(ARTIKEL BERKAITAN: Sombong 'kepala' segala keburukan)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus