Kenapa AS bernafsu untuk perang?

A
A
A

TERKINI dunia menyaksikan provokasi Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan perang terhadap Iran. Keghairahan Presiden AS, Donald Trump dengan dasar ganasnya (hawkish) kini mengenakan sekatan yang mendera Iran dan sedia melancarkan perang, walaupun tahu risikonya sangat besar kepada Israel dan rakan AS di rantau Asia Barat.

Orang-orang kanan Trump seperti John R Bolton (Penasihat Sekuriti Nasional AS) dan Mike Pompeo (Setiausaha Negara AS) yang gila untuk berperang, mahu mencari alasan untuk meningkatkan konflik dengan Iran.

Anehnya rakyat Amerika walaupun mengakui kelemahan AS yang sering cenderung untuk menyelesaikan masalah dengan cara ketenteraan namun 71 peratus rakyat AS masih melihat Iran sebagai musuh dan ini boleh menegangkan lagi konflik.

Malangnya kesungguhan Trump untuk berperang didorong oleh beberapa negara Arab dan Israel untuk menyerang Iran. Bekas pegawai jabatan pertahanan Obama, Colin Kahl menyatakan: "Pentadbiran AS lebih cenderung untuk menggalakkan serangan Israel (ke atas Iran) daripada berusaha untuk menghalang mereka."

Sepatutnya AS meletakkan keutamaan untuk mencapai keamanan di Asia Barat namun sebaliknya mereka bertindak dengan cara yang boleh mencetuskan bencana bukan sahaja di rantau itu malah kepada dunia.

Apa yang dilaungkan AS sekarang ialah mengulangi pembohongan dan mitos tentang ancaman yang ditimbulkan Iraq kepada AS dan sekutunya 16 tahun yang lalu. Pembohongan wujudnya WMD (Senjata Pemusnah Massa) di Iraq pada tahun 2003 telah digunakan untuk berperang di Iraq.

Sekarang pentadbiran Trump mengulangi tuduhan yang sama dengan mendakwa wujudnya ancaman oleh Iran.

Membaca laporan oleh media AS, nampaknya momentum untuk perang sedang dibina:

Artikel Berkaitan:

"AS melancarkan lebih banyak patriot missiles ke Timur Tengah, di tengah ancaman Iran" (CNN)

"Pentagon membina angkatan pertahanan bagi menghadapi kemungkinan serangan dari Iran". (New York Times) "AS berkata Iran mungkin lancar serangan ke atas kapal Saudi". (Wall Street Journal)

Dengan kesemua laporan media AS sengaja menggambarkan ada ancaman dan serangan dari Iran dan daripada kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh pegawai (tanpa nama), AS cuba membayangkan perang ke atas Iran adalah wajar.

Wartawan AS sering melaporkan propaganda bagi mencetuskan peperangan di Iran. Ini sikap yang tidak bertanggungjawab oleh wartawan AS yang bertindak seolah sebagai stenografer kepada mereka yang berkuasa. Padahal sepatutnya wartawan meletakkan golongan yang berkuasa bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan.

Perjanjian

Hakikatnya media AS menjadi hamba kepada mereka yang berkuasa dan tidak kritis dalam membentuk pemikiran rakyat.

Faktanya Iran tidak mempunyai senjata nuklear. Iran tidak mempunyai program senjata nuklear dan Iran telah mematuhi terma perjanjian nuklear.

Ketiga-tiga kenyataan itu mewakili pandangan konsensus antara lain oleh komuniti perisikan AS, ketua keselamatan Israel, jeneral tertinggi AS dan yang terpenting Agensi Tenaga Atomic Antarabangsa (IAEA).

Namun anehnya, New York Times baru-baru ini melaporkan bahawa rancangan Pentagon menghantar 120,000 tentera AS ke Asia Barat sebahagiannya bergantung kepada sama ada Iran memutuskan untuk ‘mempercepatkan kerja senjata nuklear’.

Soalnya bagaimanakah Iran 'mempercepatkan kerja' mengenai senjata yang tidak wujud?

Setahun yang lalu, Trump menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear secara unilateral. Padahal perjanjian itu yang berjaya menghalang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear - walaupun IAEA bahkan pentadbiran Trump mengesahkan Iran mematuhi perjanjian itu.

Kini AS mengenakan sekatan terhadap bank dan syarikat perkapalan Iran serta cuba mengekang ekonomi Iran. Baru-baru ini, pentadbiran Trump mengumumkan bahawa ia tidak lagi akan memberikan pengecualian kepada beberapa rakan terdekat Amerika termasuk Korea Selatan dan Jepun yang berurusniaga dengan Iran.

Usaha AS yang dahagakan perang di Iran tidak lebih daripada mengikut telunjuk Israel dan beberapa negara Arab untuk menyerang Iran.

Malah akhbar rasmi Israeli, Haaretz, jelas memetik tajuk pada 20 Mei 2019 'Dilema Netanyahu terhadap Iran: Bagaimana mempengaruhi Trump untuk bertindak ke atas Iran tanpa meletakkan Israel di barisan hadapan'. Jelas AS telah menjadi boneka Israel.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu