11 kanak-kanak berjaya jalani pembedahan jantung

Setiausaha YANAS, Mohd Affendi Mohd Amin (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Prof Datuk Jafri Malin Abdullah (tengah).
Setiausaha YANAS, Mohd Affendi Mohd Amin (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Prof Datuk Jafri Malin Abdullah (tengah).
A
A
A

KOTA BHARU - 11 kanak-kanak yang menghidap masalah jantung berjaya menjalani pembedahan melalui program Program Kebajikan Pediatrik Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan kerjasama beberapa pihak dekat sini.

Penyelaras program yang juga Pakar Kardiologi Pediatrik HUSM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, program amal selama lima hari bermula 21 Julai lalu itu melibatkan lapan pakar dari United Kingdom.

Beliau berkata, pembedahan itu merupakan projek di bawah badan amal ‘Healing Little Heart’ (HLH) yang berpangkalan di United Kingdom.

Projek ini turut disokong melalui sumbangan daripada Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) serta kerjasama Ronald McDonald House Charity USM.

“Keseluruhannya seramai 60 pesakit jantung telah menjalani pembedahan melalui tujuh program ini sejak 2015. Perkhidmatan ini juga meringankan beban pesakit kerana ia hanya memerlukan kos sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sedangkan kos di Institut Jantung Negara (IJN) dari RM40,000 hingga RM50,000.

“Sehingga kini terdapat 30 hingga 50 senarai pesakit yang menunggu untuk menjalani pembedahan jantung dan kalau kita boleh dapat banyak dana, lebih ramai kanak-kanak yang boleh menjalani pembedahan ini dengan segera,” katanya pada sidang media di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM sempena pembedahan amal gandingan pakar kardiotorasik HUSM bersama sepasukan pakar dari United Kingdom hari ini.

Difahamkan, HUSM antara hospital yang menawarkan perkhidmatan pembedahan kardiologi pediatrik sejak tahun 2000 dan telah melakukan prosedur invasif setara dengan IJN.

Pembedahan itu diketuai anak Malaysia yang bertugas di Hospital di Glasgow, Scotland, Dr Edward Peng.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis itu ialah Pakar Runding Unit Rawatan Rapi Leicester Hospital, Dr Mohamad Shanisuz Zoha dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat HUSM, Prof Madya Datuk Abdul Rahman Izaini Ghani.

Dalam majlis yang sama juga diadakan penyerahan cek sumbangan daripada YANAS yang disampaikan Setiausahanya, Mohd Affendi Mohd Amin kepada Prof Datuk Jafri Malin Abdullah mewakili Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUCARE).

Seorang kanak-kanak Muhammad Aish Faaeq Mohd Azmi, 1 tahun 1 bulan bertuah apabila terpilih untuk menjalani pembedahan berkenaan pada 21 Julai lalu.

Neneknya, Saodah Daud, 58, amat bersyukur kerana doktor HUSM telah berjaya menjalankan pembedahan cucunya lebih cepat.

“Alhamdulillah rezeki kami dapat lakukan pembedahan di HUSM dengan kos yang lebih rendah.

Muhammad Aish Faaeq didukung bapanya, Mohd Azmi (kanan) ketika di dalam wad bersama Nur Syafiqah Irdina yang didukung ibunya, Asmaham Ibrahim (kiri).
Muhammad Aish Faaeq didukung bapanya, Mohd Azmi (kanan) ketika di dalam wad bersama Nur Syafiqah Irdina yang didukung ibunya, Asmaham Ibrahim (kiri).

“Tambahan pula ibu bayi ini, Nursakinah Abu Bakar, 29, menghidap sakit buah pinggang sejak melahirkan bayinya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pasukan perubatan yang telah berjaya melakukan pembedahan untuk cucu saya,” katanya.

Saodah kini mengambil alih tugas membantu menjaga cucunya di hospital bersama menantunya Mohd Azmi Mazlin, 29.

Dr Mohd Rizal berkata, kanak-kanak itu menghadapi masalah saluran darah sempit yang boleh menyebabkan kegagalan jantung, pernafasan dan pembesaran terganggu sekiranya tidak dibedah.

“Pembedahan anak itu mengambil masa empat jam dan keadaannya semakin stabil dijangka boleh pulang Ahad ini.

“Seorang lagi kanak-kanak di wad yang sama Nur Syafiqah Irdina Mohd Roslam, 10 bulan yang ada masalah jantung berlubang. Penyakit ini kalau tidak dibedah akan menyebabkan kegagalan jantung dan menjejaskan pembesaran,” katanya.