Piagam Pas-UMNO tawar politik matang kepada rakyat

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama rasmi antara Pas dan UMNO yang bakal dimeterai menawarkan perbezaan idea dan praktikaliti kepada rakyat sebagai harapan baharu menjelang PRU15.

Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin menegaskan, hala tuju utama kerjasama dua parti pembangkang itu untuk menjadi golongan minoriti yang kuat.

“Pemuda Pas memang menyambut baik kerjasama ini, teras hala tuju adalah membuktikan gabungan Pas-UMNO ini akan jadi harapan baharu kepada rakyat untuk PRU15.

“Kami cuba ketengahkan pendekatan kalau boleh kawan, buat apa lawan? Piagam dan memorandum persefahaman ini akan menjelmakan politik baharu yang matang, sejahtera dan segar,” katanya kepada Sinar Harian semalami.

Menurutnya, gabungan kerjasama Pas dan UMNO ini akan menjadi ejen semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kerajaan buat perkara molek kami akan sokong. Jika tidak elok, kami akan bantah disertakan dengan cadangan. Inilah peluang untuk rakyat nak beza idea dan praktikaliti,” jelasnya.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, piagam ini adalah manifestasi kesedaran dua parti besar untuk memenuhi kehendak Melayu dan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Penyatuan ini akan mengenepikan perbezaan antara dua parti yang selama ini berseteru selama berpuluh tahun dan mendukung perjuangan nasib serta kepentingan rakyat berbilang agama dan kaum.

“Kedudukan Islam yang menjadi tonggak kekuatan negara bangsa akan terus diperkasa di bawah payung kerjasama UMNO dan Pas. Kita akan zahirkan hasrat tersebut,” katanya.

Pada 14 September ini, Pas dan UMNO sepakat akan menandatangani satu piagam bersama dan memorandum persefahaman untuk ta’awun dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air.