Bekas menteri, Law Hieng Ding meninggal dunia

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding. Foto: sumber The Star
Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding. Foto: sumber The Star
A
A
A

KUCHING - Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding meninggal dunia sejurus sebelum jam 5 pagi tadi pada hari Krismas ketika berusia 83 tahun.

“Kita kehilangan anak watan Sarawak yang terbilang yang berkhidmat dan menabur bakti untuk Sarawak dalam Kabinet Malaysia," kata presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau menyifatkan bekas Ahli Parlimen Sarikei itu, yang menyandang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dari 1990 hingga 2004, sebagai anggota dan pemimpin SUPP yang setia.

Hieng Ding juga pernah menjadi timbalan presiden SUPP.

Kui Hian yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri menyatakan beliau sempat bertemu Hieng Ding semasa acara Lan Berambeh di Kuala Lumpur pada Oktober lepas.

“Walaupun menghadapi kesulitan untuk bercakap, beliau masih mengambil berat tentang kami," kata beliau.

Kui Hian berkata, beliau bersedih kerana tidak dapat memenuhi misi untuk Hieng Ding ketika masih hidup iaitu menamakan sebatang jalan di Sarikei sempena mengambil nama mendiang bagi menghargai khidmat beliau sebagai Ahli Parlimen Sarikei dari 1982 hingga 2008.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Ngui Soon Leng dan tiga orang anak (Dr Eric Law, Dr Michael Law, dan anak perempuanr Dr Sabrina Law). - Bernama

Artikel Berkaitan: