Nafas perkenal lima sektor baharu tingkat ekonomi

Mohd Hisyamuddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Kasih Peladang Kelantan di Lubok Jong hari ini.
Mohd Hisyamuddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Kasih Peladang Kelantan di Lubok Jong hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lima sektor baharu akan dilaksanakan pada tahun depan dalam usaha memperkasakan ekonomi ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, kesemua sektor tersebut juga turut berperanan membebaskan ahli-ahlinya daripada putaran garis kemiskinan.

"Lima sektor itu ialah projek buah-buahan tropika, industri ternakan ayam, lembu, padi serta perdagangan dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kasih Peladang Kelantan yang turut menyaksikan seramai 431 orang asnaf menerima sumbangan, di Lubok Jong, dekat sini hari ini.

Menurutnya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan turut dilibatkan dalam memperkasakan lagi program tersebut.

Katanya, difahamkan terdapat 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara yang boleh dimanfaatkan oleh ahli bagi melaksanakan lima sektor terbabit dengan bimbingan PPK dan Nafas.

"Sebagai contoh, Kelantan sangat berpotesi untuk projek ternakan lembu.

"Hal ini kerana banyak ternakan itu dibawa masuk melalui sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ahli perlu mengambil manfaat itu sebaik mungkin," katanya.

Mohd Hisyamuddin berkata, kelima-lima projek itu telah mendapat persetujuan dari ahli jemaah Nafas.