Hormat hak mangsa pencemaran kimia failkan saman: MB Johor

Dr Sahruddin (dua dari kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar serta Pelancaran Penjenamaan Segmen Yok Ngeteh hari ini.
Dr Sahruddin (dua dari kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar serta Pelancaran Penjenamaan Segmen Yok Ngeteh hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menghormati tindakan memfailkan saman oleh rakyat negeri ini yang mendakwa menjadi mangsa bencana sisa bahan kimia Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri akan mengambil segala langkah yang perlu bagi berdepan tindakan saman itu.

"Dia hendak menyaman, tidak apa. Itu hak mereka. Nanti pihak kerajaan akan ambil segala langkah-langkah yang perlu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar serta Pelancaran Penjenamaan Segmen Yok Ngeteh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan saman yang difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik, baru-baru ini.

Selain itu, Dr Sahruddin turut menangkis dakwaan kononnya beliau dan kerajaan negeri tidak turun padang untuk mendepani ujian yang sedang dihadapi warga Pasir Gudang.

"Jika mereka berkata MB tidak turun padang, pada pandangan saya agak silap. Kerana saya ada turun, kemudian Exco saya pun hampir setiap hari turun.

"Bukan satu Exco. Exco Kesihatan, YB Khuzzan; Exco Pendidikan, YB Aminolhuda; Exco PBT, YB Tan dan semua ketua-ketua jabatan," katanya.

Beliau berkata, Exco Kerajaan Johor dan ketua-ketua jabatan berkaitan juga sentiasa menghantar laporan kepadanya mengenai perkembangan semasa di Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

"Pengarah Pendidikan, Pengarah Kesihatan, YDP dan Pegawai Daerah memang hampir setiap hari turun dan kita semua mengambil tahu.

"Sebetulnya kita sudah buat yang terbaik. Semua agensi memainkan peranan untuk memastikan pencemaran di Pasir Gudang dapat ditangani," katanya.