1,467 plastik berisi daun ketum dalam Vellfire

Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian ketum yang berjaya dirampas pihaknya dalam tiga kes berasingan minggu lalu di sini hari ini.
Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian ketum yang berjaya dirampas pihaknya dalam tiga kes berasingan minggu lalu di sini hari ini.
A
A
A

JELI - Tiga lelaki ditahan bersama 1,150 kilogram (kg) ketum dalam tiga kes berasingan di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, kes pertama melibatkan dua lelaki yang ditahan bersama 350kg ketum di Kampung Lakota di sini.

"Dalam kejadian kira- kira jam 6.30 petang 16 Julai lalu, kedua- dua suspek ditahan sepasukan anggota yang melakukan rondaan di Jalan Raya Timur Barat Batu Melintang selepas dikatakan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandu salah seorang suspek dipintas dan pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik berikat gelang getah disyaki daun ketum di dalamnya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Ahmad berkata, sebanyak 1,467 plastik berisi daun ketum ditemui di bahagian belakang tempat duduk penumpang belakang.

Katanya, ujian saringan awal dijalankan terhadap kedua- dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu mendapati mereka negatif dadah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang ditahan bersama 10 bungkusan plastik hitam mengandungi 200kg ketum.

"Dalam kejadian kira- kira jam 2 petang 17 Julai lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli telah melakukan rondaan di sekitar Kampung Lawar sebelum terserempak sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Toyota Vellfire berisi ketum yang berjaya dirampas polis Jeli di Kampung Lakota di sini minggu lalu.
Toyota Vellfire berisi ketum yang berjaya dirampas polis Jeli di Kampung Lakota di sini minggu lalu.

"Anggota kemudian mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan, bagaimanapun suspek enggan memberikan kerjasama sebelum memecut laju berpatah balik menuju Batu 13, Batu Melintang," katanya.

Ahmad berkata, anggota mengekori dari belakang sebelum kereta dipandu lelaki berusia 31 tahun itu terbabas di bahu jalan.

"Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan," katanya.

Menurutnya suspek yang positif dadah itu turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Beliau berkata, kes ketiga pula melibatkan rampasan empat kenderaan bersama 600kg ketum yang ditinggalkan tanpa pemilik di kawasan Batu 13, Batu Melintang.

"Dalam kejadian kira- kira jam 2.30 petang 17 Julai itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jeli ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan Batu 13, Batu Melintang telah menemui empat kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di tepi jalan.

"Setelah menunggu selama 30 minit, anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan selepas mendapati tidak ada sesiapa pun muncul di kawasan terbabit.

Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati keempat-empat kenderaan iaitu tiga Proton Persona dan sebuah Proton Wira berisi bungkusan plastik hitam berisi dedaun hijau disyaki ketum.

"Kesemua kenderaan kemudian dibawa balik ke balai untuk tindakan lanjut.

Kesemua rampasan ketum bagi ketiga-tiga kes dianggarkan berjumlah RM34,500 dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.