Tindakan tegas jika ditangkap jual ‘Ghost Smoke’

Saifuddin (tiga dari kiri) menyerahkan watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen kepada individu yang dilantik.
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melipat gandakan operasi bagi mengesan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke'.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa negeri yang peniaganya dikesan aktif menjual gula-gula berkenaan antaranya, Kedah, Sabah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, pemantauan digiatkan di seluruh negeri, hasil pemeriksaan ada yang dijual secara runcit atau borong manakala stok produk itu disimpan di premis tertentu sebelum diedar.

"Pemantauan dilakukan bawah Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu larangan perihal dagangan palsu.

“Kita juga sudah dapat mengesan syarikat yang membawa masuk produk ini dan masih dalam siasatan.

"Label syarikat berkenaan menunjukkan syarikat itu wujud namun produk itu tidak disenaraikan dalam dokumen, bermakna wujud pelabelan palsu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen bagi zon Utara hari ini.

Menurutnya lagi, produk yang dibawa masuk dari luar negara itu turut mempunyai tanda halal dari negara terbabit dan dipercayai aktif memasarkan produk berkenaan sejak setahun lalu.

“Kita juga telah nasihati premis yang edarkan produk itu agar hentikan segera, jika sabit kesalahan berdepan hukuman berat.

"Saya ingin beri amaran agar jangan langgar akta, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan pertama dan berikutnya sehingga RM500,000,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya turut menerima banyak aduan berkaitan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula terbabit, yang dikesan turut dijual di luar pagar sekolah.

“Ia perkara yang serius, ada peniaga jual kepada pelajar sekolah dan kita akan pantau penjualan dan kenakan tindakan tegas,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia