Mahkamah benar pasukan Najib akses baki log perbualan BBM saksi

Bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, ketika keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. - Foto BERNAMA
Bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, ketika keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengakses baki log perbualan dalam telefon BlackBerry milik bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh yang memohon masa untuk meneliti log berkenaan yang diserahkan pihak pendakwaan kepada mereka hari ini.

Ia berikutan pasukan pembelaan mendapati mereka tidak dapat meneliti dokumen yang mengandungi log itu dalam masa 10 minit seperti yang diberi mahkamah pada permulaan prosiding perbicaraan petang ini.

Log berkenaan adalah transkrip perbualan menerusi BlackBerry Messenger (BBM), daripada telefon saksi pendakwaan ke-54 yang dirampas Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram tidak membantah permohonan itu dan mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini kepada Isnin hadapan.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar log perbualan itu ditanda sebagai "ID" (Ikatan Dokumen) di mana log itu hanya boleh dirujuk ketika keterangan, tetapi kandungannya tidak boleh dibaca di mahkamah sehingga ia ditanda sebagai bahan bukti.

Hakim Mohd Nazlan juga mengingatkan Yu, 48, yang akan menyambung keterangannya minggu depan, bahawa beliau tidak boleh membincangkan keterangannya dengan sesiapa kerana masih terikat dengan sumpah kepada mahkamah.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dikejutkan dengan dakwaan terdapat ancaman bom menyebabkan seluruh bangunan terpaksa dikosongkan bagi tujuan pemeriksaan pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, anggota polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali mendakwa terdapat bom di dalam bangunan itu kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata, setakat ini bangunan mahkamah adalah selamat setelah pemeriksaan awal pihaknya tidak menjumpai apa-apa ancaman.- Bernama