Mindef nafi dua anggota tentera hilang di Pulau Perak ditemui

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menafikan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang hilang di Pulau Perak, Kedah Jumaat lepas telah ditemui berdasarkan gambar yang tular di media sosial hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, gambar bot TLDM yang ditularkan itu sebenarnya bot milik Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera yang telah menemukan mayat seorang wanita ketika sedang belayar melalui utara Perairan Selat Melaka, Selasa lalu.

“Mayat berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Tanjung Tokong dan dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

“Kementerian Pertahanan ingin menjelaskan bahawa operasi pencarian kedua-dua anggota yang disedari hilang sejak 19 Julai lalu masih dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian berkata, Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin telah diatur gerak dalam operasi pencarian yang bermula pada Sabtu lalu, tertumpu di kawasan pulau dan perairan persekitaran.

“Justeru, semua pihak diharap berhenti dan tidak menyebarkan sebarang laporan atau maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menghormati ahli keluarga mangsa terlibat,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan kehilangan dua anggota iaitu Koperal David Edmund Rapi dan Lans koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Oktober 2016 yang membabitkan Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Oktober 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi.

Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini.