Habuan kepada pemain Kedah masih rahsia

MUKHRIZ - Foto MEDIA KFA
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berhasrat mengumumkan secara terbuka berhubung habuan yang menanti skuad Lang Merah sekiranya berjaya menjulang Piala FA, pada perlawanan menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun perbincangan dua pihak antara KFA dan pemain sudah diadakan.

“Ini antara KFA dan pemain, kami hanya bincang sesama kami,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Kedah, di Taman Jubli Emas, Suka Menanti hari ini.

Ditanya sama ada cuti peristiwa akan diumumkan sekiranya Kedah berjaya membawa pulang Piala FA ke Jelapang Padi, Mukhriz berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco dan akan diumumkan kemudian.

“Yang ini biar kami bincang dahulu dalam mesyuarat Exco, yang penting lawan dulu,” katanya.

Mukhriz juga berharap penyokong Kedah dan Perak memupuk budaya perpaduan dalam sukan dalam aksi yang dinantikan itu.

“Pendekatan kita kali ini berbeza, perbincangan dua negeri diadakan untuk kita rai penyokong dan pemain dalam suasana perpaduan melalui bola sepak, program bersama kedua-dua penyokong diadakan di Ipoh sebelum bergerak ke Stadium Bukit Jalil,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia