Duit UMNO masih banyak, lebih dari PH: Mukhriz

Mukhriz bersama Mohd Hatta dan Saifuddin ketika menyampaikan replika cek SME Corporation Malaysia kepada penerima program pembangunan Bumiputera (bantuan kewangan) kepada wakil Kedah.
Mukhriz bersama Mohd Hatta dan Saifuddin ketika menyampaikan replika cek SME Corporation Malaysia kepada penerima program pembangunan Bumiputera (bantuan kewangan) kepada wakil Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO didakwa cuba memberi gambaran kepada rakyat kononnya parti itu kini ketiadaan sumber kewangan apabila berhasrat melancarkan tabung mengumpul dana sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya yakin UMNO masih mempunyai sumber kewangan mencukupi dan cuba memenangi hati rakyat dengan berbuat demikian.

Menurutnya, mewujudkan tabung dana parti itu seakan menunjukkan bahawa UMNO masih mempercayai wang dapat membeli sokongan rakyat.

“UMNO hendak beri gambaran seolah mereka tak ada duit, saya ingat banyak lagi duit yang ada pada parti itu, lebih daripada apa yang kami (Pakatan Harapan) ada,” katanya, pada sidang media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Kedah, di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah secara sinis berkata, agaknya mengutip derma antara yang mereka pelajari daripada Pas.

“Sebelum ini tak pernah timbul isu kutip dana dalam UMNO, sebelum ini pun dana sentiasa mencukupi, sekarang tak tahulah,” katanya.

Menurutnya, UMNO didakwa masih tidak memahami bahawa duit bukan segalanya, termasuk memancing sokongan mahupun untuk memenangi hati rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, penglibatan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bukan satu bentuk campur tangan politik, sebaliknya ke arah membantu meningkatkan sektor pertanian.

“Perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai negatif kerana mungkin ahli politik yang dilantik itu mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang pertanian dan boleh menyumbang dalam sektor berkenaan,” katanya.

Menurutnya, banyak aspek perlu dilihat secara menyeluruh untuk memajukan sektor pertanian, bukannya berkaitan dengan lantikan politik sahaja.

“Banyak lagi aspek yang perlu dilihat antaranya macam mana nak besarkan estet padi negara. Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah nyatakan kita perlu tengok semula punca yang menyebabkan sektor pertanian negara tidak berkembang,” katanya.