Jho Low mahu penyata kad kredit Najib tidak dihantar ke rumah

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, bertegas supaya penyata kad kredit Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dihantar ke alamat rumah bekas Perdana Menteri itu di Jalan Duta.

Perkara itu didedahkan oleh bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, 48, pada hari ke-44 perbicaraan bekas Perdana Menteri berhubung penyalahgunaan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Yu dalam kenyataan hari ini bersetuju dengan beberapa kandungan e-mel pada 2011 antara beliau dengan Jho Low, yang dibangkitkan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Respons Jho Low yang berbunyi...."Tidak tidak tidak... jangan hantar penyata itu ke kediaman Najib.. amat sensitif. Kami akan mengambilnya”.

Yu menjawab “Ya”.

Harvinderjit: Jho Low juga berkata “penyata kad kredit tidak boleh samasekali sampai ke rumahnya”. Yu menjawab “Ya, mereka sentiasa mengambil penyata itu sendiri”.

Harvinderjit: Jho Low bertegas?

Yu: Ya, dan pemegang mandat juga.

Ketua pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, merupakan pemegang mandat kepada akaun AmBank Najib.

Sementara itu semasa ditanya mengenai perbualan antara Yu dan Jho Low menerusi BlackBerry Messenger (BBM), saksi pendakwaan ke-54 itu mengesahkan bahawa Jho Low meminta beliau memadamkan log perbualan BBM yang bertarikh 3 Mac 2015.

"Ya, Jho Low beritahu saya untuk memadamkan log perbualan BBM itu... tapi saya tidak lakukannya, sebab saya tidak tahu bagaimana nak melakukannya.

Saksi itu juga memberitahu bahawa Jho Low dan Nik Faisal meminta beliau supaya tidak mendedahkan nama Najib apabila ada dana yang masuk ke dalam akaun AmBanknya.

Artikel Berkaitan:

“Ya kami diberitahu bahawa kami tidak boleh senaraikan nama Datuk Seri Najib,” tambahnya.

Harvinderjit: Anda diberitahu oleh Jho Low bahawa ia melibatkabn rahsia besar yang boleh mendedahkan seseorang, jadi jangan dedahkan nama itu?

Yu: Ya, saya diberitahu demikian oleh Jho Low.

Harvinderjit: Adakah Jho Low beritahu sebab akaun itu dibuka? Adakah dia beritahu Najib sedang menunggu derma dari Arab Saudi?

Yu: Dia beritahu secara ringkas bahawa ada pemindahan masuk wang yang sedang dijangka oleh Najib... tapi saya tidak ingat sekiranya dia ada menyebut mengenai derma atau tidak.

Harvinderjit: Saya cadangkan kepada anda bahawa tujuan akaun itu dibuka adalah bagi membolehkan Najib menerima derma bagi sumbangannya kepada aktiviti berkaitan Islam.

Yu: Saya hanya dapat tahu mengenainya selepas saya tengok surat itu.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama