FAM denda persatuan, kelab ingkar

No Image Caption
A
A
A

AKIBAT ingkar melunaskan tunggakan gaji 44 pemainnya selain seorang jurulatih, Kuantan (Kuantan FA) didenda RM67, 500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan memaklumkan selain didenda, Kuantan FA perlu menjelaskan tunggakan gaji tersebut yang melebihi RM 1.6 juta dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Tegasnya lagi, wakil kelab Pahang itu turut diberi tempoh 14 hari untuk membayar denda berkenaan atau berdepan hukuman berat sekiranya gagal atau enggan mematuhi tempoh yang diberikan dan keputusan tersebut tidak boleh dirayu.

Baljit turut memaklumkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) juga didenda RM12,000 susulan kegagalan persatuan itu menyelesaikan tunggakan gaji lapan bekas pemainnya yang berjumlah RM377,000.

Tambahnya, FAP perlu menyelesaikan denda tersebut dalam 14 hari selain perlu melunaskan tunggakan gaji berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut atau berdepan tindakan tegas dari FAM.

Murutnya, lapan pemain berkenaan adalah Mafry Balang, Muhammad Rafiuddin Roddin, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, K. Reuben, Sani Anuar Kamsani, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Shazalee Ramlee dan Syed Adney Syed Hussein.

Wakil Liga FAM, Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) turut diarahkan menyelesaikan tunggakan gaji RM144,000 kepada 10 orang pemainnya.

Sepuluh pemain berkenaan ialah Ahmad Nazrin Ahmad Nazim, Chairi Emmier Solehaddin Abu Bakar, Muhammad Afham Zulkipeli, Mohamad Syafiq Redzuan Mohd Pauzee, Mohd Razif Abd Rahim, Muhamad Razren Mohd Jesni, Muhammad Fikri Elhan, Muhammad Hadzirun Che Hamid, Muhamad Syauki Abd Wahab dan Izzat Abd Rahim.

Artikel Berkaitan:

Baljit memaklumkan kelab bola sepak Terengganu City (TCFC) pula didenda RM1,500 dari tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Ia susulan kegagalan juara Liga FAM 2018 itu untuk menyelesaikan tunggakan gaji RM60, 000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan pampasan baki kontrak RM120, 000 kepada bekas jurulatihnya, Roshadi Wahab.

Menurut Baljit, kesemua keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat kali kesembilan Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi penggal 2017-2021 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini. - Bernama