PIIACUF tonjol sisi berbeza Islam, tangkis stigma islamofobia

Datuk Seri Dr Wan Azizah
Datuk Seri Dr Wan Azizah
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penganjuran Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) mampu menonjolkan sisi Islam yang berbeza ketika istilah Islamofobia mempengaruhi masyarakat dunia.

Beliau berkata, istilah Islamofobia telah menyebabkan Islam disalah anggap dan dikaitkan dengan pelbagai konotasi negatif yang menyumbang kepada persepsi buruk dan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap Islam.

Menyifatkan penganjuran PIIACUF sebagai tepat pada masanya, beliau berkata festival itu mampu membuktikan Islam tidak pernah meminggirkan seni dan budaya yang telah berperanan membentuk peradaban dunia.

"Malah, seni dan budaya Islamlah yang telah membentuk peradaban dunia,” katanya ketika merasmikan PIIACUF 2019, yang memasuki edisi kelimanya, di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Bertemakan Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam, PIIACUF 2019 yang berlangsung sehingga 28 Julai ini antara lain akan memperlihat signifikan muzik dan vokal sebagai medium komunikasi menghubungkan manusia sejagat selain menjadi platform perkongsian ilmu, seni dan budaya negara Islam.

Dengan menonjolkan seni budaya yang bercirikan Islam, Dr Wan Azizah berkata, PIIACUF dapat mengambil peranan untuk menangkis stigma itu dengan penglibatan masyarakat dari pelbagai negara, ras dan latar belakang untuk menghargai kepelbagaian kesenian dan kebudayaan negara Islam.

Dr Wan Azizah juga optimis PIIACUF akan menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara luar terutama kerajaan yang berteraskan Islam.

"Melalui jalinan kerjasama yang baik dan kolaborasi strategik, kita berpeluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama demi kecemerlangan dan kegemilangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah turut menarik perhatian bahawa unsur seni dan budaya juga mampu menjana ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM529.8 juta pada tahun lepas melalui pameran dan pelbagai persembahan kebudayaan.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka bertambah tahun ini seiring dengan pertambahan pengunjung ke festival seperti PIIACUF dan usaha terhadap penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa.- Bernama