Gabenor Puerto Rico akur desakan letak jawatan

Gabenor Puerto Rico, Ricardo Rossello. - Foto Reuters
Gabenor Puerto Rico, Ricardo Rossello. - Foto Reuters
A
A
A

SAN JUAN - Gabenor Puerto Rico, Ricardo Rossello semalam mengumumkan peletakan jawatannya susulan protes besar-besaran selama dua minggu mendesak pengunduran beliau.

"Saya mengumumkan akan meletak jawatan sebagai gabenor berkuatkuasa Jumaat 2 Ogos pada jam 5 petang," umum Rossello dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook kerajaan.

Sejurus pengumuman tamat, penunjuk perasaan yang berhimpun di sekitar kediaman Rossello kedengaran bersorak gembira menyambut berita peletakan jawatan tersebut.

"Saya percaya Puerto Rico akan terus bersatu dan bergerak ke hadapan. Saya juga berharap keputusan ini akan dapat menenangkan rakyat," kata Rossello.

Menurut beliau, Setiausaha Kehakiman, Wanda Vazquez akan mengambil alih tugas buat sementara waktu.

Terdahulu, Rossello berdepan krisis politik berhubung kes rasuah melibatkan wang bantuan yang seharusnya disalurkan kepada mangsa Taufan Maria yang melanda Puerto Rico pada tahun 2017 dan meragut hampir 3,000 nyawa.

Rossello turut dikecam berhubung kebocoran pesanan teks di mana beliau dan beberapa pegawainya antara lain mempersendakan wanita dan juga mangsa Taufan Maria. - AFP

Artikel Berkaitan: