Timba ilmu bantu asnaf, ibu tunggal

Wanita Cakna Kuala Krai mempelajari cara pembuatan makanan sejuk beku dari NGO Dapur Ramadan.
Wanita Cakna Kuala Krai mempelajari cara pembuatan makanan sejuk beku dari NGO Dapur Ramadan.
A
A
A

KUALA KRAI - Menyedari ramai asnaf dan ibu tunggal tidak mempunyai pendapatan tetap Wanita Cakna Kuala Krai mengadakan lawatan sambil belajar untuk menimba pengalaman daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengusahakan makanan sejuk beku.

Pengerusi Cakna Wanita, Salema Sapie berkata, beliau berhasrat membuka peluang pekerjaan menerusi projek ekonomi untuk golongan ini meneruskan kelangsungan hidup seterusnya keluar dari kelompok miskin tegar.

"Saya dapati ramai ibu tunggal kematian suami tidak mempunyai pendapatan menyara keluarga, namun sukar untuk keluar bekerja kerana tidak dapat meninggalkan anak masih kecil.

"Jadi dengan adanya projek ekonomi membuat makanan sejuk beku mereka tidak perlu tinggalkan kampung serta anak untuk mencari rezeki," katanya selepas mengadakan lawatan ke projek Dapur Ramadan untuk mempelajari selok-belok pengurusan NGO terbabit.

Salema berkata, ada dalam kalangan mereka menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak mencukupi.

"Di Kampung Laloh sahaja misalnya terdapat sekitar 30 ibu tunggal dan asnaf dan jumlahnya ini agak ramai.

"Berikutan itu kita berhasrat menjadikan projek ekonomi yang dirancang dapat membantu mengurangkan beban mereka," katanya.

Katanya,bagi menjayakan program ini cakna wanita juga berharap pihak lain berhasrat membantu merealisakan hasrat dengan menyalurkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan Dapur Ramadan dibantu golongan tertentu yang berhasrar melihat nasib golongan ini terbela.

"Justeru jika ada dermawan berhasrat membantu, kami sangat mengalu-alukan," katanya.