Takuto Okabe adili final Piala FA 2019

Takuto Okabe
Takuto Okabe
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perlawanan akhir Piala FA antara Perak menentang Kedah akan menyaksikan penampilan pertama kalinya pengadil luar dari Jepun, Takuto Okabe, Sabtu ini.

Pengadil berusia 38 tahun itu akan dibantu oleh dua penolong pengadil, yang juga rakan senegara, Akane Yagi, 45, dan Osamu Nomura, 30 tahun.

Sementara pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, 34, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan bagi perlawanan berkenaan.

Aksi final membabitkan dua gergasi utara itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 9 malam.

Penglibatan pengadil luar negara adalah alternatif pertama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan pengendali liga tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam menangani isu mutu pengadilan yang sering tercetus dalam saingan liga domestik.

Okabe adalah pengadil utama saingan J1 League yang telah menjadi pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015.

Beliau pernah mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2016 hingga 2019, turut berpengalaman mengendalikan perlawanan pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Korea Selatan, Universiade 2017 di Taiwan dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Penolong Okabe, Yagi pula mula menjadi penolong pengadil FIFA sejak 2009 dan berpengalaman bertugas pada Piala Asia 2015 di Australia, Piala Dunia B-20 edisi 2015 di New Zealand dan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, selain perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2015 hingga 2019.

Artikel Berkaitan:

Manakala Nomura baharu saja diiktiraf sebagai penolong pengadil FIFA pada tahun ini dan telah diberikan tugas pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Sebagai rekod, pengadil tempatan J.Suresh yang mengendalikan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC (TFC) dan Perak yang lepas, dianggap ramai peminat bola sepak tanah air sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh termasuk membatalkan dua jaringan dan layangan dua kad merah pada perlawanan itu menyaksikan integriti beliau dipersoal.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata ketiga-tiga pengadil itu dijangka tiba di Kuala Lumpur lewat petang ini.

Mereka akan hadir pada hari terakhir Kursus Kepengadilan MA FIFA serta Seminar Pengadil Piala Malaysia 2019 dan Challenge Cup 2019 di Shah Alam, esok.

"Selamat maju jaya buat ketiga-tiga pegawai perlawanan dari Jepun ini dan semoga final Piala FA 2019 pada Sabtu ini berlangsung dengan lancar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.- Bernama