Kes solar Rosmah, Rizal dibenar bicara bersama

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan dua kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan satu kes rasuah Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, dibicarakan bersama.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri supaya semua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Kes solar Rosmah (pertuduhan menerima rasuah RM5 juta ) dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” kata Mohd Farizul semasa pengurusan kes di sini, hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Rosmah, tidak membantah permohonan pendakwaan.

Mohamed Zaini turut membenarkan kes rasuah Rosmah RM5 juta dibicarakan sekali dengan kes rasuah solar pertamanya bersama kes rasuah Rizal.

Peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili Rizal,45, tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Terdahulu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Wang itu sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2020 untuk pengurusan kes bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 30 Mei lepas, Hakim Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal dibicarakan selama 27 hari kecuali Jumaat pada tahun hadapan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan 3-6 Februari, 10-13 Februari,17-20 Februari, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar itu.

Dia turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus.- Bernama