10 pekerjaan unik lelaki

A
A
A

(SIRI 1)

JIKA ditanya kepada generasi muda lelaki, apakah kerjaya yang diminati? Majoriti pantas menjawab usahawan, peguam, polis, askar, bomba ataupun doktor. Ia disebabkan sejak zaman kanak-kanak mereka telah didedahkan dengan profesion sedemikian.

Ironinya, untuk menggapai impian tersebut, kita tidak boleh bergantung pada angan-angan semata-mata tanpa disusuli usaha dan ilmu.

Bagaimanapun, tahukah anda di sebalik keterujaan sesetengah pihak mengejar kerjaya profesional itu, terdapat segelintir individu pula lebih cenderung memilih untuk melakukan kerja ‘gila’.

Percaya atau tidak, mereka sanggup melakukan pekerjaan yang dianggap pelik dan tidak glamor asalkan mendapat gaji bulanan bagi menyara kehidupan diri sendiri dan keluarga.

Sehubungan itu, e-Trend pada edisi kali memaparkan 10 pekerjaan unik yang dilakukan para jejaka di luar negara. Meskipun tidak masuk akal, namun kerjaya-kerjaya itu sentiasa mendapat permintaan tinggi.

1) Oshiya

JIKA di kebanyakan negara para penumpang mengambil pendekatan berundur ke platform sebaik sahaja melihat keadaan tren sesak dan padat, tetapi di Jepun pula sebaliknya.

Selagi kereta api belum berjalan dan pintu tertutup rapat selagi itu Oshiya yang lengkap beruniform dan bersarung tangan putih akan menolak para penumpang ke dalam tren.

Artikel Berkaitan:

Oshiya atau tukang tolak merupakan kumpulan pekerja yang rata-ratanya lelaki bertanggungjawab menolak penumpang sehingga masuk ke dalam kereta api terutamanya pada waktu puncak seperti pagi dan petang. Langkah tersebut bertujuan memastikan mereka tiba di destinasi pada kadar segera.

Meskipun pekerjaan unik itu popular di negara Matahari Terbit, namun hakikatnya tugas Oshiya telah bermula di bandar raya New York, Amerika Syarikat selepas tren bawah tanah pertama dibuka pada tahun 1904.

2) Penentu jantina anak ayam

Kebanyakan pengusaha ternakan ayam khususnya di negara Eropah dan Jepun akan menggaji chicken sexer (penentu jantina anak ayam) bagi menentukan jantina anak ayam yang baru menetas.

Biarpun bergelumang dengan haiwan ternakan, tetapi pekerjaan itu dianggap profesional kerana memerlukan penelitian cekap dan mempraktikkan skil yang khusus seperti memicit-micit badan anak ayam dengan tahap tekanan tertentu sehingga kemaluan ia dapat dilihat sama ada betina atau jantan.

Ia berikutan anak ayam yang masih kecil sukar untuk menentukan jantina memandangkan semua nampak sama.

Bagaimanapun, pada empat tahun lalu, persatuan penternak ayam di Britain melahirkan kebimbangan apabila mengalami kekurangan tenaga kerja dalam bidang tersebut, meskipun gaji ditawarkan adalah sebanyak 40,000 euro (RM184,321 setahun).

3) Cuidacarro

Di negara Costa Rica, jenayah mencuri kenderaan sering berlaku tanpa mengira waktu.

Sehubungan itu, bimbang dengan situasi tersebut pemilik kenderaan akan membayar khidmat Cuidacarro.

Para petugas akan menjaga kenderaan sepanjang berada di parkir dan tegar memukul sesiapa sahaja yang didapati cuba mencuri kereta anda.

4) ‘Pemancing’ basikal

Amsterdam merupakan sebuah negara yang mana para penduduknya selesa menjadikan basikal sebagai pengangkutan harian.

Disebabkan situasi itu, wujudnya pekerjaan unik dalam kalangan lelaki tempatan iaitu menjadi pemancing basikal.

Kerjaya itu bermula susulan sikap sebahagian rakyat yang tidak bertanggungjawab membuang basikal buruk atau tidak boleh digunakan lagi ke dalam terusan di negara berkenaan.

Justeru, bagi menjaga alam sekitar, 'pemancing' basikal akan mengangkatnya keluar dari sungai.

Dianggarkan antara 12,000 ke 14,000 basikal berkarat dipancing pada saban tahun.

5) Perunding hak jantina

Selari dengan matlamat Sweden sebagai sebuah negara yang mengamalkan hak sama rata antara lelaki dan wanita, kerjaya pakar perunding hak jantina turut diwujudkan.

Peranan mereka adalah memastikan kanak-kanak dilayan sama rata tanpa mengira jantina di pusat jagaan kanak-kanak.

Profesion itu mungkin nampak remeh, namun ia menjadi keutamaan bagi menepis soal diskriminasi gender di negara tersebut.