Mangsa scammer tak percaya polis: Timbalan Ketua Polis Negara

Mazlan
Mazlan
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan orang awam yang menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam berpunca daripada rasa tidak percaya terhadap polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, walaupun perkara itu sentiasa didedahkan pihak polis dan media, namun masih ramai terpedaya dengan sindiket berkenaan yang menggunakan taktik menyamar sebagai pihak polis atau bank.

Beliau turut kecewa dengan kes penipuan macau scam yang masih tinggi dengan nilai kerugian mencecah sehingga setengah juta ringgit.

"Masalah yang kita hadapi sekarang ini, masih ada masyarakat yang mudah mempercayai (scammer) dengan cepat dan apabila mereka telah mengeluarkan duit atau berasa ditipu, baru mereka nak laporkan pada polis.

"Mereka sepatutnya bila terima panggilan daripada pihak yang dikatakan pegawai polis, jangan panik dan hadir ke balai polis terlebih dahulu supaya kita boleh bantu untuk menangkap suspek.

"Ini merupakan satu penyakit masyarakat di antara masyarakat kita yang tidak mempercayai polis. Saya berharap agar masyarakat datang melaporkan kepada polis sebelum terjerumus lebih dalam kerana payah untuk kita kesan," katanya.

Mazlan (tengah) menyaksikan penyerahan serah tugas daripada pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri kepada Abdul Jalil.
Mazlan (tengah) menyaksikan penyerahan serah tugas daripada pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri kepada Abdul Jalil.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan dilantik menjadi Ketua Polis Pahang yang baharu bermula hari ini menggantikan Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Sementara itu, Mazlan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang perkongsian maklumat di media sosial tanpa membuat pengesahan maklumat terlebih dahulu.

Menurutnya, mereka yang melakukan perkongsian tanpa pengesahan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika terbukti bersalah.

"Kalau tak dapat pengesahan daripada mana-mana, simpan sahaja maklumat itu dan tak perlu nak jadi orang pertama yang sebar maklumat itu.

"Kalau kita buat siasatan maklumat di media sosial, kita akan lakukan secara menyeluruh dan mereka yang melakukan penyebaran maklumat turut akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.