Hina nabi: Wanita UMNO desak tindakan segera pihak berkuasa

Noraini Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Rasulullah.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perbuatan itu bukan sahaja menggugat ketenteraman awam malah menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu turut mengguris perasaan dan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

"Wanita UMNO kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina nabi: UMNO, Pas Selangor buat laporan polis

"Pemilik akaun ini telah memuat naik isi kandungan yang bukan sahaja menghina Nabi Muhammad SAW bahkan agama Islam di dalam Facebook miliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, Wanita UMNO telah menggerakkan sayap parti itu di seluruh negara untuk membuat laporan polis hari ini bagi mendesak pihak polis segera menahan dan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook itu.

Katanya, perbuatan itu boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan dan sepatutnya dikenakan hukuman berat.

"Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

"Tindakan tegas pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, sepatutnya menjadi isyarat bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu jenayah yang tidak boleh dikompromi," katanya.

Terdahulu, kepimpinan sayap UMNO dan Pas Selangor membuat laporan polis susulan tindakan seorang pemilik akaun Facebook berkenaan.

Sebanyak empat laporan dibuat bersama oleh pemimpin Pemuda UMNO Selangor, Pemuda Pas Selangor, Wanita UMNO Selangor dan Dewan Muslimat Pas Selangor di Balai Polis Seksyen 6 semalam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia