18 nelayan warga Vietnam didenda RM2.58 juta

Mohamad Afiq Taqiudin (kiri) bersama sebahagian daripada tertuduh di pekarangan luar kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu setelah selesai kes, hari ini.
Mohamad Afiq Taqiudin (kiri) bersama sebahagian daripada tertuduh di pekarangan luar kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu setelah selesai kes, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM2.58 juta terhadap 18 nelayan warga Vietnam termasuk dua tekong, hari ini.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan denda paling tinggi di negara setakat hari ini melibatkan kesalahan nelayan asing.

Keputusan terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 21 hingga 54 tahun itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kesemua tertuduh didakwa menangkap ikan secara bersama menggunakan pukat tunda dua bot manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa membuang pukat ke laut bertujuan menghapuskan bukti.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut didakwa dilakukan di perairan perikanan Malaysa pada jarak antara 72 hingga 79 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira jam 7.05 hingga 8 pagi, pada 19 Mei 2018.

Kehadiran mereka di lokasi dikesan kapal KM Pekan yang sedang membuat rondaan selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Dalam masa sama, didapati salah sebuah bot tersebut melepaskan tali pukat di dalam air bertujuan menghapuskan bukti.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala kesemua tertuduh diwakili Mohd Suhaimi Ismail, Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tekong masing-masing berusia 42 dan 47 tahun dipenjara tiga tahun manakala bagi awak-awak setahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan semua barang kes yang disita dalam ketiga-tiga kes termasuk dua vesel penangkapan ikan asing dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.