Tsunami Sunda: Malaysia tidak terkesan...

- Foto Reuters.
- Foto Reuters.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan menerima sebarang kesan daripada gelombang tsunami susulan ‘anak Krakatau’ yang ketika ini masih menunjukkan letusan aktif berhampiran Selat Sunda.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari berkata, beberapa faktor, termasuk geografi dan jarak dari runtuhan rekahan gunung itu menyebabkan seluruh persisiran pantai negara ini bebas daripada ancaman tsunami.

Selain itu, katanya, Malaysia terhindar daripada bahaya kerana sebarang pembentukan ombak luar biasa susulan insiden letusan gunung berapa di sepanjang lingkaran api Pasifik dihalang kepulauan Jawa dan Sumatera.

“Sepatutnya tiada isu kerana jarak dari punca terlalu jauh dan ia berlaku di Selat Sunda, iaitu rantau yang dilitupi oleh persisiran Jawa dan Sumatera.

“Bagaimanapun, METMalaysia memantau perkembangan di Selat Sunda 24 jam bagi memastikan langkah keselamatan bersesuaian berupaya dilaksanakan, selain bergantung kepada perkongsian maklumat daripada negara jiran.

“Ombak luar biasa yang membadai Banten dan Lampung, Sabtu lalu tidak akan sampai ke Malaysia, sekali gus menjadikannya ia ancaman tsunami bukan rentas sempadan,” katanya.

- Foto Reuters.
- Foto Reuters.

Tsunami berikutan runtuhan rekahan gunung berapi anak Krakatau yang membadai persisir barat Banten, pada 9.03 malam, waktu tempatan setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 373 orang.

Artikel Berkaitan:

Alui menjelaskan, mekanisme untuk mengesan tsunami berikutan gempa bumi menggunakan gabungan peralatan tolok pasang surut, kamera pantai dan siren ketika ini berfungsi di seluruh negara.

Katanya, proses penyelenggaraan bagi memastikan keberkesan peralatan sentiasa dalam keadaan baik turut dijalankan secara berkala.

“Kita mempunyai 77 stesen seismologi, 17 tolok pasang surut, 53 siren tsunami dan 18 kamera pantai yang beroperasi di seluruh negara untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada METMalaysia.

“Malaysia hanya mengesan gempa bumi dan tidak pantau berkaitan volkanologi (kajian gunung berapi) kerana tiada aktiviti sedemikian di perairan kita berikutan kawasan geografi negara terletak di luar lingkaran api Pasifik.

“Oleh itu, kita bergantung kepada maklumat yang dikongsikan negara jiran menerusi saluran berkaitan,” katanya.

Mengulas perkembangan cuaca tempatan, Alui berkata orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi myCuaca yang akan memaparkan maklumat berkaitan bagi memudahkan urusan seharian.

Katanya, semua maklumat berkaitan cuaca menerusi aplikasi yang dibangunkan sejak 2015 itu akan dikemaskini setiap 10 minit, selain menyediakan ramalan cuaca jangka pendek iaitu untuk dua jam seterusnya.

“Kita minta orang ramai waspada terhadap perubahan cuaca mengikut amaran berdasarkan kategori warna yang dikeluarkan METMalaysia, malah maklumatnya disalurkan menerusi aplikasi myCuaca,” katanya.