KPDNHEP kesan ada peniaga sorok gula-gula 'Ghost Smoke'

Mohd Hairul (tengah) menunjukkan gula-gula Ghost Smoke yang dirampas dalam operasi berkenaan.
Mohd Hairul (tengah) menunjukkan gula-gula Ghost Smoke yang dirampas dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan menggandakan usaha mengesan lebih banyak bekalan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mahu dipasarkan di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, perkara itu berikutan pihaknya mengalami sedikit kesukaran untuk mengesan saki baki barangan terbabit yang dipercayai telah disorok rata-rata pemborong mahupun peniaga.

“Selepas penjualan gula-gula ini menjadi tular di laman sosial, kita telah menjalankan 132 pemeriksaan di seluruh premis melibatkan pemborong dan peniaga makanan ringan di negeri ini.

“Operasi ini juga telah melibatkan seramai 200 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Johor.

"Bagaimanapun, kami percaya kebanyakan daripada pihak ini sudah mula menyorokkan bekalan tersebut,” katanya pada sidang media di Menara Ansar di sini hari ini.

Mohd Hairul berkata, hasil daripada operasi dijalankan sejak Selasa lalu, pihaknya telah merampas sebanyak 150 peket gula-gula tersebut melibatkan jumlah bernilai RM37.50.

“Kesemua gula-gula ini dirampas hasil daripada pemeriksaan di sebuah premis pemborong di Masai, Pasir Gudang. Berdasarkan maklumat diterima, harga jualan kepada peruncit adalah sekitar RM7.50 sekotak yang mana dijual semula kepada pengguna dengan harga 50 sen.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai bagaimana sumber bekalan produk gula-gula itu diperolehi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rampasan dan siasatan terhadap gula-gula berkenaan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mengandungi kandungan, maklumat dan logo halal yang diragui.

“Jika didapati bersalah, perbadanan atau syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi individu pula denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.