Budak dua tahun maut tertinggal dalam kereta

Gambar kecil: Zainuddin Yaacob
Gambar kecil: Zainuddin Yaacob
A
A
A

LANGKAWI - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan meninggal dunia selepas tertinggal di dalam sebuah kereta pada 22 Julai lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri setelah ditinggalkan lebih kurang dua jam oleh datuknya dalam kereta di luar pagar hadapan rumah mereka di Taman Sungai Raya, Jalan Air Hangat, Kuah, Langkawi.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa telah mengikuti datuknya berumur 73 tahun untuk mengambil kakak dan abangnya pulang dari sekolah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

"Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian belakang bersama kakak dan abangnya dipercayai telah tertidur.

"Setelah sampai ke rumah, datuknya terus masuk ke dalam rumah dan beranggapan mangsa telah keluar dari kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zainuddin, lebih kurang dua jam kemudian, ibu mangsa yang bangun dari tidur menyedari bahawa mangsa tiada bersama kakak serta abangnya di dalam rumah dan terus mencari mangsa.

"Ibu mangsa dan datuknya pergi ke kereta dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di bahagian tempat duduk belakang dan sudah tidak sedarkan diri.

"Ketika kejadian, kesemua tingkap dan pintu kereta bertutup rapat, mangsa yang tidak menunjukkan sebarang tindak balas seterusnya dibawa ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut dan kemudiannya disahkan telah meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, laporan penuh bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa belum diperoleh, namun laporan awal diterima menunjukkan punca kematian berkemungkinan strok haba.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Zainuddin berkata, kes masih dalam siasatan pihak polis dan ibu bapa dinasihatkan lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Jika siasatan dijalankan mendapati wujud kecuaian, tindakan pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga berkenaan akan diambil," katanya.