Wanita AS bunuh anak untuk 'halau syaitan' dipenjara 25 tahun

Angela Phakhin (kiri) dan tunangnya Untwan Smith mendakwa mahu menyingkirkan syaitan dari tubuh anak Phakhin berusia tiga tahun. - Foto AFP
Angela Phakhin (kiri) dan tunangnya Untwan Smith mendakwa mahu menyingkirkan syaitan dari tubuh anak Phakhin berusia tiga tahun. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Seorang wanita California dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana membunuh anak perempuannya berusia tiga tahun dengan alasan mahu menyingkirkan syaitan dalam badan mangsa.

Pejabat peguam daerah berkata, Angela Phakhin disabitkan bersalah pada bulan Jun lalu kerana membunuh anaknya bernama Maiya dan hukuman dijatuhkan Jumaat lepas.

Tunang Phakhin, Untwan Smith, yang turut dituduh dalam kes terbabit kini menunggu perbicaraan.

Menurut pihak berkuasa, pasangan yang berpindah ke California dari Arkansas pada Februari 2016 itu tinggal di dalam kereta.

Dalam tempoh dua minggu pada bulan Jun 2017, pasangan berkenaan mendedahkan Maiya kepada suhu panas ekstrem.

Pihak pendakwa berkata, dalam satu insiden, Maiya ditinggalkan di dalam kereta selama empat setengah jam dan hari berikutnya, selama sembilan setengah jam, menyebabkan kematian anak kecil itu.

"Phakhin berulang kali diberi amaran agar melindungi Maiya dan dinasihatkan membawa anaknya ke tempat perlindungan yang sejuk, namun dia menolak.

"Selepas kematian Maiya, Phakhin memberitahu pihak berkuasa dia dan tunangnya cuba menyingkirkan syaitan yang berada dalam badan mangsa," kata pendakwa.

Artikel Berkaitan:

Phakhin dan Smith diberkas pada 28 Jun 2017 di Rancho Cordova, utara San Francisco, selepas kereta mereka ditahan polis gara-gara kesalahan meletak kenderaan.

Pegawai yang memeriksa kenderaan terbabit menemukan mayat Maiya di bawah timbunan selimut di bahagian tempat duduk belakang. - AFP